Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Dec, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

iPhone 12 dan iPhone 12 mini: Telefon 5G paling kecil dan berkuasa di dunia

CEO Apple, Tim Cook awal pagi ini telah melancarkan telefon pintar terbaru keluaran Apple, siri iPhone 12. Terdapat empat model baru dalam keluarga iPhone 12 dan ia boleh dipecahkan kepada dua kategori, iPhone 12 dan iPhone 12 Pro.

iPhone 12 adalah pengganti kepada iPhone 11, bermakna ia adalah siri terendah dalam keluarganya. Kali ini, Apple memperkenal dua model untuk iPhone 12 yang serba serbi sama dalam semua perkara, kecuali saiz skrin. Mungkin saiz bateri juga berbeza, tetapi itu perkara yang Apple tidak akan maklumkan.

Dua model tersebut adalah iPhone 12 dan iPhone 12 mini.

Kuasa pemproses di dalam kedua-dua iPhone 12 ini diperbaharui dengan pemproses serba baharu, Apple A14 Bionic. Ia adalah cip untuk peranti mudah alih pertama dihasil menggunakan proses 5nm, menjadikan prestainya lebih baik serta rendah penggunaan tenaga. Cip ini turut dilengkapi modem 5G, menjadikannya iPhone pertama menyokong rangkaian 5G dengan kelajuan sehingga 4Gbps.

Bahagian skrin adalah naik taraf terbesar. iPhone 12 kini menggunakan skrin OLED Super Retina XDR, menggantikan skrin LCD di iPhone 11 tetapi masih kekal dengan takuk besar di dahi. Skrin ini dilapisi “Ceramic Shield” atau pelindung seramik di atasnya, dikatakan lebih baik dari kaca yang biasa digunakan di telefon pintar lain dan 4x lebih tahan berbanding iPhone sebelumnya.

Untuk iPhone 12, skrinnya berukuran 6.1-inci manakala iPhone 12 mini, skrinnya berukuran 5.4-inci sahaja. Dengan ini, Apple turut mengumumkan bahawa iPhone 12 mini sebagai telefon pintar 5G paling kecil di dunia.

Badan iPhone 12 dan iPhone 12 mini diperbuat dari aluminium gred aeroangkasa, tetapi kini berbentuk rata, tidak lagi melengkung. Binaan ini turut menepati piawaian IP68, menjadikannya kalis air sehingga 6 meter dalam selama 30 minit.

BACA  Mesej di Messenger dan Instagram boleh hilang sendiri dengan Vanish Mode

Seperti biasa, Apple tidak akan bercerita tentang kapasiti bateri. Tetapi kali ini mereka memperkenalkan teknologi pengecasan baru, MagSafe. Ia adalah pengecasan wayarles secara magnetik, jadi pengguna tidak akan tersilap letak jika mahu mengecas wayarles. iPhone 12 juga masih menyokong pengecasan berwayar, menerusi port Lightning.

Bagaimanapun, pengecas MagSafe dijual berasingan. Tambah parah lagi apabila iPhone 12 tidak lagi disertakan kepala pengecas dan fon telinga. Apple memaklumkan, kotak iPhone 12 kini lebih kecil dan membolehkan mereka memuatkan lebih banyak iPhone di dalam satu kontena untuk dijual. Pengecilan saiz kotak ini disumbang oleh ketiadaan kepada pengecas dan fon telinga di dalam kotak. Pembeli iPhone 12 akan menerima hanya telefon dan kabel USB-C ke Lightning sahaja.

Spesifikasi kamera pula ada sedikit peningkatan. Apple masih mengekalkan gandingan dwi-kamera 12MP di belakang bersama kamera 12MP di hadapan. Kamera ini dinaik taraf di bahagian apertur iaitu F1.6 di kamera utama, F2.4 di kamera ultralebar dan F2.2 di kamera hadapan.

Selain teknologi Deep Fusion kini terdapat di kamera belakang dan depan, iPhone 12 turut dilengkapi keupayaan merakam video Dolby Vision HDR. Apple menjelaskan, iPhone 12 adalah telefon pintar pertama yang berupaya merakam Dolby Vision HDR dari hujung-ke-hujung. Mod malam juga telah ditambah ke dalam rakaman Time Lapse, membenarkan pendedahan lebih panjang untuk tangkapan gambar waktu malap.

iPhone 12 dan iPhone 12 mini akan ditawarkan dalam 5 pilihan warna iaitu hitam, putih, merah, hijau dan biru. Kapasiti storan pula di antara 64GB, 128GB dan paling besar 256GB.

Jualan iPhone 12 akan bermula dari 23 Oktober di Australia, China, Jerman, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Manakala iPhone 12 mini, akan mula dijual pada 13 November di negara yang sama.

BACA  Facebook takut dengan pengguna iOS 14, ini sebabnya

iPhone 12 dijual dari harga USD 799 manakala iPhone 12 mini pula berharga dari USD 699.