Lencana bewarna biru yang disahkan atau Verified di Twitter membolehkan pengguna tahu bahawa akaun kepentingan awam tersebut adalah sahih. Untuk mendapatkan lencana tersebut, akaun perlulah terkenal dan aktif.
Pada bulan November 2017, Twitter menjelaskan bahawa mereka sedang mengusahakan program pengesahan yang baharu. Sementara itu, mereka tidak menerima serahan awam untuk mendapatkan status Verified di Twitter.
Hal ini berikutan Twitter mendapat kritikan berat kerana memberikan Jason Kessler, penganjur protes sayap kanan, Unite the Right di Charlottesville, Virginia, lencana pengesahan pada akaun Twitter nya. Selepas Jason Kassler menerima lencana itu, dia meraikannya dan merasakan dirinya disokong oleh Twitter.
Kessler dikenang kerana dia bantu mengatur tunjuk perasaan nasionalis kulit putih di Charlottesville pada bulan Ogos, protes tersebut menyebabkan kematian seorang wanita.
Meskipun begitu, Twitter merancang untuk menerima permohonan lencana yang disahkan pada tahun 2021. Twitter turut berkongsi draf dasar pengesahan yang baharu untuk mendapatkan lencana biru.
Terkenal
Akaun mestilah mewakili atau dikaitkan dengan individu atau jenama terkenal. Twitter akan mengesahkan akaun tersebut berdasarkan beberapa kriteria:
- Kerajaan – Akaun pegawai dan pejabat utama kerajaan, termasuk ketua negara, pegawai terpilih, menteri yang dilantik, entiti institusi, duta besar, dan jurucakap rasmi.
- Syarikat, jenama dan organisasi – Akaun yang mewakili organisasi terkemuka termasuk syarikat, jenama, pertubuhan bukan kerajaan serta pemimpin mereka dan eksekutif terkemuka lainnya.
- Berita – Akaun rasmi organisasi berita yang memenuhi syarat seperti surat khabar, rangkaian TV, radio dan program berita.
- Hiburan – Studio filem, rangkaian TV, dan entiti muzik. Akaun artis, pelakon, pengarah, dapat disahkan jika: mereka mempunyai 5 kredit pengeluaran pada profil IMDB.
- Sukan – Akaun liga sukan profesional, pasukan, jurulatih yang disenaraikan di laman web pasukan rasmi.
- Aktivis, penganjur, dan individu lain yang berpengaruh
Aktif
Mempunyai profil, bio dan gambar lengkap. Mesti log masuk ke akaun dalam enam bulan terakhir. Mempunyai alamat e-mel atau nombor telefon yang disahkan. Tidak boleh mempunyai 12 jam atau 7 hari penguncian.
Terdapat beberapa jenis akaun yang tidak akan diiktiraf oleh Twitter untuk menerima status Verified. Malah, akaun yang telah menerima status Verified boleh juga kehilangan status tersebut atas beberapa alasan.
Akaun yang tidak layak:
- Haiwan peliharaan dan watak fiksyen, kecuali secara langsung berafiliasi dengan Syarikat, Jenama, atau Organisasi yang disahkan.
- Akaun melakukan pelanggaran berat, manipulasi Platform dan dasar spam, seperti jual beli pengikut (follower)
- Akaun yang berkaitan dengan aktiviti berbahaya, kandungan kebencian atau yang didapati telah melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang berat oleh pengadilan antarabangsa
- Parodi, umpan berita, ulasan dan akaun peminat
Kehilangan status yang disahkan
- Menukar nama akaun (@handle)
- Tidak aktif
- Tidak lagi berada dalam kedudukan yang pada awalnya anda telah disahkan
- Menyamar di Twitter dengan menukar nama paparan atau bio anda
- Pelanggaran berat yang mengakibatkan penangguhan akaun segera
- Ulangi pelanggaran dalam Tweet
Twitter akan mula membuang lencana secara automatik dari akaun yang tidak aktif atau mempunyai profil yang tidak lengkap, hal demikian kerana aspek tersebut tidak memenuhi standard baharu.
Walau bagaimanapun, Twitter tidak menyatakan jumlah pengikut (follower) dan jumlah Tweet yang diperlukan untuk mendapatkan lencana biru.
Maklum balas dasar Verified baharu
Pengguna Twitter boleh memberikan maklum balas mengenai dasar Verified baharu ini mulai 24 November 2020 hingga 8 Disember 2020. Dasar ini disediakan dalam bahasa Inggeris, Hindi, Arab, Sepanyol, Portugis dan Jepun.
Pengguna boleh memberikan maklum balas melalui survei yang dikirimkan oleh Twitter atau pengguna boleh memilih untuk Tweet maklum balas secara terbuka, menggunakan hashtag #VerificationFeedback.
Selepas 8 Disember 2020, Twitter akan melatih pasukannya menggunakan dasar baharu dan memperkenalkan versi terakhir pada 17 Disember 2020. Sistem Verified dan pemprosesan serahan awam yang baharu akan bermula pada awal tahun 2021.
Jika anda mengimpikan lencana biru berstatus Verified dari Twitter, anda boleh periksa semula kreteria dan syarat yang ditetapkan. Sekiranya bertepatan dengan dasar yang disediakan, anda mungkin layak dan boleh bersedia untuk memohonnya.
[Sumber: Twitter, TechCrunch, NBC]