Seperti yang diumumkan AirAsia mengenai e-baucar sebelum ini, kini tawaran e-baucar RM50 tersebut sudah boleh di tuntut mulai jam 1400 pada 30 November 2020. Sebanyak 24,000 e-baucar kini tersedia untuk ditebus dan boleh digunakan untuk perjalanan domestik.
E-baucar ini membolehkan para tetamu menerima diskaun sebanyak RM50 untuk sebarang penerbangan domestik AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) yang ditempah antara 30 November 2020 sehingga 13 Disember 2020. Tempoh perjalanan yang boleh digunakan e-baucar pula ialah penerbangan 7 Disember 2020 hingga 31 Mac 2021.
Untuk mendapatkan e-baucar ini, ada beberapa langkah yang perlu anda lakukan melalui akaun Ahli BIG.
Kempen ini hanya sah untuk rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas selepas mengemas kini nombor kad pengenalan. Hanya 24,000 orang pertama sahaja yang berhak menebus e-baucar. Sekiranya anda membelanjakan di bawah jumlah e-baucar (bawah RM50) anda tidak berhak untuk meminta bayaran balik baki. Hanya satu e-baucar untuk seorang penumpang.
Cara untuk menebus e-baucar
Untuk menuntut e-baucar ini, penumpang perlu mengemaskini nombor kad pengenalan terlebih dahulu dengan menggunakan aplikasi AirAsia. Caranya adalah seperti berikut:
- Log masuk akaun Ahli BIG anda.
- Pergi ke Akaun Saya (My account) – Profil – dan klik edit di bahagian Dokumen Perjalanan (Travel Document)
- Pilih Malaysia dibahagian Negara Penerbit (Issuing Country) & kemudian Kemas kini nombor kad pengenalan Malaysia anda dan klik pada Tuntutan Baucar (Claim Voucher)
- Baucar akan dihantar ke e-mel anda dalam masa 24 jam
Cara menggunakan RM50 e-baucar
Setelah anda mendapat e-baucar melalui e-mel, anda boleh menggunakan e-baucar tersebut dalam tempahan perjalanan anda.
- Pilih penerbangan anda di halaman tempahan. Pilih lokasi yang anda ingin kunjungi beserta tarikh.
- Pilih waktu penerbangan berlepas anda
- Pilih waktu penerbangan balik anda
- Dihalaman pembayaran, masukkan nombor baucar anda yang anda terima melalui e-mel sebelum anda membuat pembayaran
Laluan baharu AirAsia
Dalam satu kenyataan media, AirAsia Malaysia juga memperluaskan jaringan domestiknya dengan lapan laluan baharu untuk perjalanan penting dan perjalanan akan datang.
Setiap laluan akan beroperasi dengan tiga penerbangan mingguan yang akan bermula pada Disember 2020, manakala penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu dijadualkan bermula pada Februari 2021.
Laluan baharu tersebut akan menghubungkan:
- Langkawi – Ipoh
- Langkawi – Kota Bharu
- Johor Bahru – Bintulu
- Johor Bahru – Kota Bharu
- Pulau Pinang – Sibu
- Pulau Pinang – Kota Bharu
- Kuching – Langkawi
Laluan baharu ini dapat memudahkan pengguna untuk pergi ke lokasi yang ingin dikunjungi tanpa perlu ke lapangan terbang yang lain. Penambahbaikan ini juga membolehkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan dengan mudah apabila sekatan perjalanan dibuka semula kelak.
Untuk maklumat dan perkembangan terkini, anda boleh mengikuti laman sosial rasmi AirAsia di Facebook, Twitter dan Instagram.
[Sumber: AirAsia]