Secara umumnya, PS5 sudah mula dijual di Malaysia pada 11 Disember 2020. Namun begitu, ianya hanya boleh diperolehi sekiranya pelanggan melakukan tempahan awal dari wakil jualan terpilih sahaja.
Meskipun perkara ini sudah diuar-uarkan sebelum ini, ada juga pihak yang ingin membeli PS5 daripada penjual semula (scalper) tanpa menghiraukan kes penipuan. Impaknya, individu tersebut menjadi mangsa penipuan dan mengalami kerugian.
Satu kes berlaku di Butterworth melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 18 tahun. Dia melayari sebuah aplikasi beli-belah dalam talian, kemudian tertarik dengan iklan jualan PS5 kerana harga yang dilihat adalah lebih murah berbanding harga pasaran.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, mangsa menghubungi pejual tersebut melalui aplikasi Whatsapp sebelum penjual tersebut mengirimkan beberapa gambar PS5 kepada mangsa. Mangsa juga dijanjikan menerima PS5 tersebut dalam masa satu hari sahaja.
Mangsa membuat bayaran sebanyak RM3,351 ke dalam akaun suspek setelah tertarik dengan gambar-gambar dan tawaran yang dikongsikan oleh penjual itu.
Keesokan harinya, mangsa menerima panggilan daripada individu yang kononnya merupakan pihak perkhidmatan penghantar barang. Individu tersebut memaklumkan terdapat bungkusan untuknya dari luar negara. Namun, untuk melepaskan bungkusan berkenaan, mangsa perlu membuat bayaran sebanyak RM1,519.
Bukan itu sahaja, mangsa juga diminta menambah beberapa bayaran lain. Bermula daripada situlah dia mula sedar bahawa dirinya sedang ditipu oleh penjual tersebut. Secara keseluruhan, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM4,870.
Sekiranya mangsa membeli secara sah daripada pengedar PS5 yang terpilih, sudah tentu dia tidak akan mengalami kerugian. Malah dengan nilai RM4,870 itu, banyak aksesori lain yang boleh ditambah.
Maka, sebelum membeli, anda perlu membuat kajian mengenai item yang anda mahukan itu terlebih dahulu. Anda perlu tahu harga dan lokasi untuk mendapatkannya. Seterusnya, belilah daripada pengedar yang sah kerana sudah tentu item akan diperolehi dalam keadaan selamat.
Di Malaysia, permainan video PS5 dijual dengan harga berikut:
- PS5 Digital Edition – RM1,869
- PS5 UHD Blu-Ray – RM2,299
Jika anda ragu-ragu dengan penjual dalam talian, anda boleh periksa maklumat mereka melalui laman sesawang semakmule. Ini merupakan satu langkah berjaga-jaga bagi memastikan penjual tersebut bukan penipu.
Anda juga boleh rujuk disini untuk mengetahui cara terbaik bagi mengelak dari membeli produk palsu dan terhindar dari sebarang penipuan apabila melakukan pembelian secara dalam talian.
[Sumber: Metro]