Pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang selepas ini boleh merancang perjalanan lebih baik dengan ketibaan aplikasi PULSE. Ia adalah aplikasi perancang perjalanan rel dan bas yang baru dilancarkan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini.
PULSE, atau singkatan dari ‘Planning Your Lifestyle Efficiently’ (Rancang gaya hidup anda dengan cekap) adalah satu lagi inisiatif daripada Kumpulan Prasarana untuk meningkatkan lagi kemudahan dan keselesaan untuk orang ramai, menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Kumpulan Prasarana.
PULSE baru dilancarkan hari ini dan pelancarannya disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman di Kompleks Rapid Rail, Subang. Menurut Daro’ Sri Tajuddin, aplikasi ini boleh dimuat turun di Google Play Store minggu depan; dan di Apple App Store sebelum Tahun Baru untuk digunakan oleh orang ramai.
“Saya amat berharap warga kota akan memuat-turun dan mencuba aplikasi PULSE ini, yang sememangnya direka sebagai mesra pelanggan dan mudah digunakan. Dengan adanya aplikasi baru ini, para pengguna perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana dapat merancang perjalanan mereka dengan lebih baik; sekali gus mengoptimakan masa mereka untuk lebih produktif dan membantu meningkatkan produktiviti diri, organisasi dan juga negara secara keseluruhan” kata Dato’ Sri Tajuddin.
Untuk peringkat permulaan, aplikasi PULSE boleh diguna-pakai untuk perkhidmatan Rapid KL, meliputi:
- LRT Laluan Kelana Jaya
- LRT Laluan Ampang
- LRT Laluan Sri Petaling
- Laluan Monorel
- Bas Rapid Transit – Laluan Sunway
- Bas henti-henti Rapid KL
- Bas perantara Jom Naik MRT.
PULSE akan dikembangkan untuk fasa kedua bagi meliputi perkhidmatan bas Rapid Penang dan Rapid Kuantan pertengahan tahun depan.
Selain merancang laluan perjalanan, PULSE turut menyediakan maklumat tentang status perkhidmatan setiap mod perkhidmatan Prasarana dan jangkaan masa ketibaan atau ‘Estimated Time of Arrival’ (ETA). Ia juga akan memberikan waktu sebenar atau ‘real time’ untuk lokasi-lokasi bas dan juga tren.
Antara ciri-ciri yang terdapat di PULSE adalah seperti berikut:
- Masa Ketibaan (Arrival Time) – Jangkaan Masa Ketibaan atau ‘Estimated Time of Arrival’ (ETA) untuk bas dan tren berdasarkan kepada data masa benar atau ‘real-time’ daripada Rapid Bus dan Rapid Rail;
- Kiraan Tambang (Fare Calculator) – Mempamerkan tambang untuk perjalanan yang menggunakan perkhidmatan Rapid KL;
- Status Perkhidmatan (Service Status) – Mempamerkan status perkhidmatan tren untuk hari berkenaan;
- Notifikasi ‘App Push’ (App Push Notification) – Membolehkan ‘admin’ untuk menghantar mesej mengenai perubahan dalam perkhidmatan secara terus ke telefon pengguna pada bila-bila masa;
- Maklumat Dekat Saya (Near Me) – Membolehkan pengguna untuk melihat stesen-stesen terdekat dan tempat-tempat menarik atau ‘points of interest’;
- Hubungi Kami (Contact Us) – Membolehkan pengguna untuk menyalurkan maklumat kepada Rapid KL.
Satu perkara menarik tentang aplikasi ini adalah nama PULSE – ‘Planning Your Lifestyle Efficiently’ telah dicipta oleh staf Prasarana sendiri, Ahmad Hakimi Ali dari Bahagian Projek LRT3. Nama itu dipilih daripada sebanyak 362 nama yang dicadangkan dalam satu peraduan dalaman kendalian portal rasmi Prasarana – Warna Portal.
[Sumber: Rapid KL]