Berikutan daun nenas seringkali dibuang setelah musim menuai, para penyelidik berusaha mencari cara yang lestari untuk menggunakan sisa nenas tersebut. Oleh itu, sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia menghasilkan satu produk daripada bahan terbuang itu.
Diketuai oleh Professor Mohamed Thariq Hameed Sultan, mereka telah menginovasikan rangka dron daripada daun nenas yang terbuang. Mereka memproses serat yang terdapat pada daun nenas menjadi satu bahan yang kuat untuk menyempurnakan sesebuah dron.
Dron yang diperbuat daripada bahan biokomposit itu mampu terbang hingga ketinggian sekitar 1,000 meter (3.280 kaki) dan bertahan di udara selama kira-kira 20 minit.
Kebaikan daripada inovasi ini ialah, dron tersebut memiliki sifat biodegradasi. Sekiranya ia rosak, rangka tersebut akan mudah terurai dan dilupus dalam tanah.
Pihak penyelidik itu juga berharap agar mereka dapat membuat dron yang lebih besar untuk menampung lebih muatan. Ia termasuklah sensor gambar untuk tujuan pertanian dan pemeriksaan udara.
Kebiasaannya, dron dihasilkan daripada bahan plastik dan ia tidak boleh dihapuskan. Sudah tentu bahan plastik mampu menyebabkan pencemaran. Oleh itu inovasi ini amat membantu bagi mengelakkan perkara itu dari berlaku.
Tambahan lagi, ia secara tidak langsung mampu meningkatkan pendapatan para petani dan mengurangkan bahan buangan. Oleh kerana dron tersebut dihasilkan dari bahan semulajadi, mungkin ia akan dijual dengan harga murah kerana rangkanya mudah dihasilkan.
[Sumber: Reuters]