Instagram merupakan salah satu aplikasi yang boleh diakses melalui komputer. Kebanyakan cirinya boleh digunakan dengan baik meskipun tidak dibuka melalui telefon. Antara contoh ciri tersebut ialah like (suka) dan komen gambar atau video, mesej terus, melakukan perubahan pada tetapan dan melihat stories Instagram pengguna lain.
Baru-baru ini, dimaklumkan bahawa satu penambahbaikan baharu sedang diuji oleh Instagram. Ia melibatkan reka bentuk stories apabila dibuka menggunakan komputer. Jika anda membuka ciri stories di komputer sekarang, anda akan lihat gambar berbentuk potrait dan kiri kanannya bewarna hitam.
Pembaharuan yang dilakukan ini akan lebih mesra komputer. Meskipun imej tetap berada dalam keadaan potrait, namun di kiri kanannya akan ada stories lain yang boleh dilihat secara samar.
Pengguna masih boleh mengklik stories itu secara manual dan boleh juga membiarkannya berjalan secara automatik. Selain itu, rekaan baharu ini memudahkan pengguna untuk melihat setiap stories yang ada dalam barisan, selepas dan sebelumnya.
Meskipun begitu, seorang jurucakap mengesahkan ujian itu sudah mula muncul di Instagram sekelompok kecil pengguna pada bulan lalu. Namun, tidak jelas dengan tepat berapa banyak pengguna yang sudah dapat mencuba reka bentuk baharu itu.
Tambahan lagi, belum diketahui juga bila ciri ini dapat digunakan secara menyeluruh. Walaupun begitu, perubahan yang dilakukan ini pasti mampu memberikan pengalaman yang berbeza kepada pengguna yang sering menggunakan Instagram pada komputer.
Namun, ada satu kelemahan yang perlu ditambah baik oleh Instagram sekiranya aplikasi ini diakses melalui komputer. Umum mengetahui, tiada pilihan untuk pengguna memuat naik gambar di Instagram sama ada melalui perkongsian biasa atau pun stories. Maka, sesuatu perlu dilakukan bagi menjadikan Instagram aplikasi yang serba boleh.
[Sumber: Engadget]