Viewqwest, salah satu penyedia jalur lebar tetap di Malaysia, kini mengumumkan pengambilalihan dua syarikat jalur lebar tetap – Macro Lynx Sdn Bhd dan iHalo. Dengan ini, mereka akan meluaskan lagi liputan perkhidmatan jalur lebar tetap meliputi hampir 120 tapak kediaman, perniagaan dan komersial di seluruh negara.
Selain daripada lokasi tambahan di Lembah Klang (termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Jaya 33, G-Tower dan Mid Valley City), ViewQwest kini boleh didapati di lebih banyak lokasi di zon selatan (Pasir Gudang, Johor), tengah (Cheras, Selangor), serta di utara (Ipoh, Perak) Semenanjung.
Pengintegrasian penuh pelanggan dan operasi ke dalam rangkaian ViewQwest, dijangka selesai menjelang penghujung suku pertama 2021. Setelah selesai, bekas pelanggan Macro Lynx dan iHalo, akan menikmati penyelesaian dipertingkat dan pilihan pelan pakej dari Viewqwest.
Ketua Pegawai Eksekutif ViewQwest, Vignesa Moorthy berkata, “Dengan pengambilalihan Macro Lynx, berserta dengan operasi kediaman iHalo, ViewQwest dapat memberi khidmat kepada pelanggan di lebih banyak tempat berbanding sebelumnya, termasuklah zon utara Semenanjung Malaysia selepas kemasukan kami ke Ipoh. Mengharungi cabaran ekonomi yang melanda seluruh dunia dan rantau ini tahun lepas, ViewQwest kekal komited dalam usaha pengembangannya bagi memberi khidmat kepada lebih ramai pelanggan, terutama sekali semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di mana ramai orang masih mengamalkan bekerja dari rumah (BDR).”
“Rangkaian kami yang mantap direka bentuk bagi menawarkan ketersambungan yang lebih pantas dan stabil untuk memudahkan pelajar mengakses platform e-pembelajaran dari rumah. Pada masa sama, para pelanggan boleh menikmati ketersambungan yang tiada tolok bandingannya untuk menikmati kandungan hiburan dan laman santai di Internet. Kami akan terus berusaha untuk mengintegrasikan dan menaik taraf infrastruktur rangkaian kami, operasi teknikal dan perniagaan, khidmat sokongan dan kepuasan pelanggan, serta portfolio produk dan perkhidmatan kami,” tambah Moorthy.
Buat masa ini, Viewqwest menawarkan pelan jalur lebar tetap dengan kelajuan dari 100Mbps sehingga 1Gbps, bersama pilihan kontrak sehingga 36 bulan. Pelan tertingginya 1Gbps, diberikan bersama WiFi Mesh dari serendah RM188/bulan dengan kontrak 36-bulan. Manakala pelan termurah 100Mbps (tiada mesh), berharga dari RM88/bulan.
Kelebihan perkhidmatan Viewqwest dari penyedia yang lain adalah kelajuan muat turun dan naik yang sama laju (simetrik), termasuk pelan 1Gbps. Untuk promosi masa terhad, Viewqwest menawarkan diskaun RM40 sehingga 18 bulan, bergantung kepada tempoh kontrak.
Bagi pengguna di luar rangkaian Viewqwest, mereka turut menawarkan perkhidmatan menerusi rangkaian HSBB TM dengan pelan yang berbeza. Pengguna boleh melanggan pelan dengan kelajuan muat turun sehingga 500Mbps tetapi kelajuan muat naik lebih perlahan.
Dengan kontrak 36-bulan, pelan 500Mbps berharga RM238/bulan manakala pelan 100Mbps berharga RM128/bulan. Kontrak lebih pendek juga ditawarkan, pada harga lebih tinggi.