Jika anda sangat kagum dengan apa yang terdapat di Huawei P20 Pro, anda pasti akan lebih terpukau dengan senjata rahsia Huawei ini, telefon pintar Porsche Design Huawei Mate RS. Ia bukan naik taraf biasa dari Huawei P20 Pro, sebaliknya merupakan sesuatu yang serba baru.
Biasanya edisi Porsche Design bagi telefon pintar Huawei sebelum ini, mereka menggunakan model sedia ada dan ubah warna ke hitam serta tambah storan dalaman. Tetapi lain jadinya dengan Huawei Mate RS. Ia tidak menggunakan platform sedia ada, sebaliknya Huawei mencipta ia menjadi telefon pintar yang berbeza dari yang lain.
Di hadapan, kelihatan skrin 6.0-inci FullView bersisi lengkung, dengan resolusi tajam 2K (2880×1440), bernisbah 18:9 serta menggunakan paparan OLED. Di belakang pula, tiga kamera Leica disusun di tengah secara menegak, bersama pengimbas capjari di bawah. Rekaan depan dan belakang ini dibuat secara simetri, sama susunan di kiri dan kanannya.
Bagi kuasa pemproses, Huawei Mate RS dikuasakan cip Kirin 970 dengan AI, bersama 6GB RAM dan storan dalaman antara 256GB dan 512GB. Tiada ruang untuk kad mikroSD, tetapi boleh dimasukkan dua kad sim bersaiz nano. Ia juga kalis air dan debu dengan pengiktirafan IP67.
Teknologi kamera di dalam Huawei Mate RS adalah sama seperti Huawei P20 Pro, iaitu kamera hadapan 24MP F2.0 bersama tiga kamera belakang gandingan lensa Leica RGB 40MP F1.8, monokrom 20MP F1.6 dan telefoto 8MP F2.4. Ia turut memiliki keupayaan merakam gerak perlahan Super Slow-Mo 960fps.
Dengan tiga lensa Leica Vario Summilux-H ini, Huawei Mate RS mampu mengambil gambar dengan apertur pelbagai F1.6, F1.8 atau F2.4. Malah, Huawei turut berbangga dengan keupayaan 5x zum hybrid bersama penstabil AIS padanya yang tidak menjejaskan kualiti gambar. Kehebatannya ditambah lagi dengan saiz sensor piksel 2.0-mikron, paling besar dalam telefon pintar. Ia juga menyokong sehingga ISO 102400, sama tahap seperti kamera DSLR.
Setakat ini kehebatan Huawei Mate RS yang sama seperti Huawei P20 Pro. Kini kita masuk ke kisah kekuatan sebenar Huawei Mate RS, sehingga ia layak membawa gelaran RS yang diberikan khusus untuk kereta terbaik keluaran Porsche.
Huawei Mate RS adalah telefon pintar pertama di pasaran yang memiliki pengimbas capjari dalam paparan, atau dalam skrin. Anda boleh meletak jari terus di atas skrin untuk membuka kunci skrin. Tetapi ia masih kurang sensitif untuk tangan basah, kerana itu Huawei masih menyediakan pengimbas capjari di belakang yang lebih jitu mengimbas. Pengimbas wajah juga boleh digunakan mengikut kesesuaian pengguna.
Saiz bateri Huawei Mate RS sama seperti P20 Pro, iaitu 4,000mAh. Ia juga turut menyokong pengecasan pantas Huawei SuperCharge. Tetapi kelebihannya adalah sokongan pengecasan wayarles yang pantas. Ia boleh digunakan bersama mana-mana pengecas wayarles dari jenis Qi.
Bagi halwa telinga, pembesar suara Dwi SLS (Super Linear System) dengan kuasa DOLBY ATMOS diterapkan ke dalam Huawei Mate RS. Bunyi sekeliling yang lebih mengancam hati & nurani dapat dihasilkan untuk hiburan mudah alih.
Untuk warna pula, seperti biasa ia akan tampil dengan warna hitam Porsche. Tetapi kali ini ia datang dengan warna kedua, merah.
Akhir sekali, kita tiba ke harganya pula. Terdapat dua konfigurasi Huawei Mate RS, di mana perbezaannya hanya pada storan dalaman. Untuk storan 256GB, ia dijual pada harga EUR1,695 (~RM8,075). Manakala storan 512GB pula, harganya ialah EUR2,095 (~RM9,981).Ia akan mula berada di pasaran seawal 12 April 2018.
Bagaimana untuk Malaysia? Ikut kebiasannya, Huawei akan turut menjual edisi Porsche Design di Malaysia. Malah, harganya juga lebih rendah dari Eropah. Cuma, adakah anda tergolong dalam mereka yang mampu mengeluarkan RM8,000 untuk telefon pintar?
Jangan kerana bergaya anda diri anda tersiksa. Tetapi mungkin ini cara paling mudah untuk memiliki sebuah Porsche yang baru kan?
Untuk maklumat lanjut tentang telefon pintar yang hebat ini, layari laman produk Porsche Design Huawei Mate RS.