Isu perkongsian maklumat palsu vaksin Covid-19 dipandang serius oleh Twitter. Platform media sosial ini telah mengumumkan akan melabel tweet yang salah mengenai vaksin Covid-19 dan akan memberi amaran kepada pengguna yang mencipta kandungan sedemikian.
Label tweet vaksin Covid-19
Di Twitter, akan ada pasukan yang menentukan sesebuah tweet itu melanggar peraturan kandungan Covid-19 atau pun tidak. Ia merangkumi tweet mengenai vaksin. Kemudian, Twitter akan menggunakan tinjauan automatik untuk memeriksa tweet tersebut melalui mesin pembelajaran (machine learning technology).
Jika Twitter mendapati sesebuah tweet itu mempunyai maklumat yang salah mengenai vaksin Covid-19, maka Twitter akan memaparkan label menyatakan tweet itu mungkin mengelirukan.
Pada label itu juga, ada pautan yang akan membawa pembaca kepada laman sesawang pihak kesihatan untuk membolehkan pembaca mendapat maklumat vaksin dari sumber yang dipercayai.
Selain itu, pengguna tidak dibenarkan berkongsi tweet yang dilabel sebagai mengelirukan di dalam rangkaian sosial.
Kategori maklumat salah Covid-19 di Twitter
Terdapat lima kategori maklumat yang salah mengenai Covid-19 di Twitter, iaitu:
- Maklumat yang salah mengenai sifat virus
- Maklumat yang salah mengenai keberkesanan rawatan dan langkah pencegahan
- Maklumat yang salah mengenai peraturan, sekatan, dan pengecualian yang berkaitan dengan nasihat kesihatan
- Maklumat yang salah mengenai kelaziman virus dan risiko jangkitan atau kematian
- Tweet yang mengelirukan (misalnya, mengaku sebagai doktor atau pegawai kesihatan awam)
Amaran kepada pengguna
Twitter akan memberi amaran kepada pengguna yang berkongsi maklumat mengelirukan mengenai Covid-19 di Twitter. Jika kesalahan masih berulang, akaun pengguna akan disekat selama 12 jam. Apabila kesalahan berlaku kali ketiga, akaun akan disekat selama 12 jam lagi.
Untuk amaran kali keempat, akaun pengguna akan ditutup selama tujuh hari. Sementara teguran kelima mengakibatkan akaun Twitter akan digantung selamanya.
Ciri ini kini dilancarkan untuk kandungan berbahasa Inggeris dan tidak lama lagi akan diperluas ke bahasa yang lain.
Sebelum ini, Facebook juga ada perkenalkan ciri label amaran di platform nya. Semua maklumat palsu berkaitan Covid-19 akan dipadam dan individu yang melakukan kesalahan sama akan dibuang daripada Facebook.