Selepas dilancarkan di China awal bulan ini, telefon pintar siri RedMagic 6 kini sedia dimiliki pengguna di luar China. Jualan siri RedMagic 6 untuk pasaran antarabangsa akan bermula pada 15 April 2021.
Tempahan awal juga diumumkan, dibuka bermula 9 April 2021 di laman web rasmi RedMagic. Pembeli dalam tempoh tempahan awal ini, berpeluang menerima fon telinga TWS RedMagic Cyberpods percuma menggunakan kod tawaran.
Bagaimanapun, varian tertinggi dengan RAM 18GB tidak terdapat untuk pasaran antarabangsa. Berikut adalah harga jualan siri RedMagic 6:
- RedMagic 6 (RAM 12GB + Storan 128GB) – USD 599 (~RM2,468)/ EUR 599 / GBP 509
- RedMagic 6 Pro (RAM 16GB + Storan 256GB) – USD 699 (~RM2,880)/ EUR 699 / GBP 599
Hanya ada 1 warna terdapat untuk kedua-dua telefon ini iaitu hitam untuk RedMagic 6 dan perak untuk RedMagic 6 Pro. Laman rasmi RedMagic menerima tempahan dari seluruh dunia tetapi tidak mennyenaraikan Malaysia di dalamnya. Antara negara di Asia Pasifik yang tersenarai adalah Australia, Hong Kong, Indonesia, Jepun (akan datang bulan Mei), Macau dan Singapura.
Spesifikasi
Sebagai peranti gaming terbaru, siri RedMagic 6 dilengkapi kuasa pemproses Snadpragon 888 bersama RAM LPDDR5 dan storan UFS 3.1. Untuk Redmagic 6, ia ditawarkan sehingga 12GB RAM dan 256GB storan. Versi Pro pula, boleh dimiliki dengan RAM sehingga 18GB, pertama ada di telefon pintar dan storan sehingga 512GB.
Nubia menaik taraf sistem penyejukan di siri RedMagic 6 dengan memasang kipas penyejuk di dalam, digandingkan dengan kebuk wasap dan lapisan tembaga yang besar, untuk mengalirkan haba dengan lebih baik. Menurut Nubia, suhu pemproses boleh diturunkan sehingga 16℃ dengan sistem penyejukan ini.
Ciri baru paling menarik di siri RedMagic 6 adalah pada skrinnya, yang menggunakan paparan AMOLED HD Penuh 6.8-inci, dengan kadar penyegaran adaptif dari 30Hz hingga 165Hz, paling pantas di pasaran masakini. Ia menyokong kadar sentuhan pelbagai 360Hz dan kadar sentuhan sejari sehingga 500Hz, juga tertinggi masakini. Pengimbas capjari turut terdapat di dalam skrin.
Satu lagi perbezaan antara kedua-dua model ini adalah saiz bateri dan pengecasan. RedMagic 6 memiliki bateri 5,050mAh dan menyokong pengecasan pantas 65W. Ia boleh mengecas penuh dalam masa 38 minit.
Manakala bateri RedMagic 6 Pro sedikit kecil, hanya 4,500mAh tetapi menyokong kuasa pengecasan lebih tinggi 120W. Ini membolehkan ia mengecas 50% dalam masa 5 minit sahaja dan mengecas penuh hanya dalam 17 minit.
Menambah kehebatan peranti gaming ini adalah butang bahu sentuh, dipertingkat dengan kadar sentuhan setinggi 400Hz agar lebih peka. Ia juga memiliki teknologi terbaru WiFi 6E untuk liputan dan kapasiti penghantaran data yang lebih besar.