Celcom hari ini melancarkan pakej Celcom Max, gabungan pelan jalur lebar Celcom Home Fibre dan pascabayar Celcom Mega dalam satu bil. Celcom menamakannya sebagai penyelesaian sehenti untuk perkhidmatan internet dan kesalinghubungan kediaman dan mudah alih, memaksimumkan gaya hidup digital pelanggan dalam keselesaan di kediaman mahupun di mana sahaja.
Dengan gabungan ini, Celcom Max menyediakan pelbagai tawaran dan penjimatan ‘Max’ seperti rebat bulanan seumur hidup, penjimatan bagi peranti untuk produktiviti dan hiburan, serta akses kepada hiburan dan kandungan tanpa henti.
Tarikan utama yang dihebahkan ada di Celcom Max ini adalah MAX Value, iaitu penjimatan RM21/bulan untuk seumur hidup. Selama mana pelanggan kekal dengan pakej Celcom Max, mereka akan menikmati penjimatan RM21/bulan untuk gabungan pelan Celcom Home Fibre dan Celcom Mega selama-lamanya.
Pelan Celcom Home Fibre ditawarkan dari 100Mbps sehingga 500Mbps. Ia menyediakan internet berkelajuan tinggi di rumah, tanpa had kuota. Pelan Celcom Mega pula boleh dilanggan dari RM80/bulan dengan panggilan tanpa had, bersama internet berkelajuan tinggi dan kuota dari 40GB.
Tetapi khas untuk 100 pelanggan pertama Celcom Max, mereka akan menikmati satu bulan bil Celcom Max secara percuma. Tawaran ini dibuka mulai 6 April sehingga 9 April 2021.
Seterusnya, penjimatan yang boleh didapati di Celcom Max adalah MAX Savings iaitu pembelian peranti dengan harga lebih murah dari biasa. Celcom menyediakan TV Android Sharp dan laptop Microsoft Surface di bersama langganan Celcom Max.
TV Sharp 60″ dengan Android TV boleh dimiliki dari RM2,400, penjimatan sebanyak RM2,599 dari harga asal, serta baucar tunai Sharp bernilai RM500. Manakala laptop Surface Pro X 256GB LTE ditawarkan berharga RM5,800, penjimatan sebanyak RM638 serta datang bersama tetikus Bluetooth dan papan kekunci Type Cover percuma. Pengguna Celcom Max boleh mendapatkan peranti ini secara ansuran mudah 24 bulan, tanpa faedah.
Untuk kandungan hiburan, pelanggan Celcom Max akan diberikan MAX Entertainment iaitu langganan iflix atau iQiyi selama 6 bulan secara percuma.
Bagi menyediakan sambungan internet terbaik di rumah, MAX Internet memberikan router AX WiFi 6 untuk semua pelanggan Celcom Max. Pelanggan juga diberi pilihan untuk menaik taraf router ini kepada router mesh WiFi Deco AX20 pada harga RM25/bulan selama 24 bulan, atau secara percuma untuk langganan Celcom Home Fibre 500Mbps.
Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad berkata semakin ramai rakyat Malaysia kini terlibat secara langsung dalam ekosistem digital hari ini, mengubah cara kita bekerja, belajar, bersantai dan bermain. Hubungan internet telah menjadi keperluan dalam sebahagian besar aktiviti harian dan gaya hidup, sama ada ketika di rumah atau berada di luar.
“Celcom MAX yang baharu merupakan penyelesaian sehenti bagi kediaman dan mudah alih yang direka khas untuk memenuhi keperluan pelanggan kami. Internet yang lancar, kukuh dan konsisten tersedia pada bila-bila masa membolehkan kesemua rakyat Malaysia boleh memaksimumkan gaya hidup digital mereka yang unik, sama ada menyertai mesyuarat atau kelas atas talian, mengstrim video hiburan, bermain permainan mudah alih atau melayari internet untuk mendapatkan maklumat terkini.
“Celcom MAX adalah sesuai untuk pelbagai saiz isi rumah, kerana variasi pakej mampu milik dan pelan ditawarkan memberi pelanggan penjimatan seumur hidup, dan nilai terbaik bagi kesalinghubungan di kediaman mereka. Pelanggan dan ahli keluarga mereka boleh kekal selamat di rumah, terus produktif, terhibur, atau terhubung melalui peranti atau kandungan digital terkini, bersama yang dikasihi,” menurut Idham.
Kepada yang berminat untuk melanggan pakej Celcom Max yang menggabungkan internet di rumah dan mudah alih dalam satu bil, boleh mengunjungi mana-mana cawangan Celcom Bluecube, Rakan Peniaga Sah Celcom atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan Celcom di talian 1111 atau 019-6011111. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web Celcom Max.