Anda rasakan ROG Phone terlalu garang dan agresif untuk kegunaan harian? Zenfone ada penyelesaiannya melalui siri ZenFone 8. Ada dua buah dilancarkan iaitu Zenfone 8 dan Zenfone 8 Flip, masing-masing memiliki rekaan lebih zuhud tapi komponen dalaman seiras ROG Phone 5.
ZenFone 8 Flip
Zenfone 8 Flip mengekalkan rekaan kamera boleh kilas yang digunakan sejak Zenfone 6. Ia membolehkan telefon ini menampilkan paparan tanpa sebarang takuk ataupun lubang.
Asus menggelarkannya sebagai NanoEdge Display dan pada Zenfone 8 Flip ini, ia ada paparan 6.67” Super AMOELD dengan kadar segar semula setingg 90Hz.
Komponen kamera belakangnya turut menjadi kamera depan, semuanya ada tiga buah kamera. Kamera utama diperkasa sensor 64MP dan ia gunakan komponen Sony IMX686 yang sudahpun digunakan mereka pada Zenfone 7 Pro.
Kemudian ia ada kamera ultralebar 12MP yang gunakan sensor IMX363. Sensor ini juga sudah berusia kerana ia sudahpun digunakan sejak siri ZenFone 5 dan melarat sehingga siri ZenFone 7.
Kamera yang terakhir ialah kamera telefoto 3x zum optikal dengan sensor 8MP. Mereka tidak pula menyatakan sensor apa yang diguna pakai padanya.
Atas papan utama, ia diperkasa Snapdragon 888, SoC terbaik yang ada dalam indsutri setakat ini. Di bahagian RAM dan storan, hanya ada satu varian sahaja yang ditawarkan iaitu RAM 8GB dan storan 256GB. Andai kata anda inginkan padanan yang lebih pelbagai, di Zenfone 8 biasa, ada.
Kalau anda rasakan Asus sedikit berjimat pada bahagian kamera, perkara yang sama kelihatan tidak berlaku pada bahagian audio. Bukan sahaja ia hadir dengan stereo speaker, ia turut dilengkapi jek audio 3.5mm, sesuatu yang jarang-jarang ada pada flagship terutamanya dalam tahun 2021.
Bateri 5,000mAh pada telefon ini bertanggungjawab membekalkan tenaga pada segala komponen elektronik. Bersama-sama dengannya Asus memberikan blok pengecas 30W di dalam kotak, tapi menurut laman spesifikasi, ia menyokong Quick Charge 4.0 dan PD Charging yang mencadangkan ia mungkin menyokong lebih daripada 30W sekiranya pengecasan pihak ketiga digunakan.
Dalam pasaran Eropah sana, Zenfone 8 Flip dijual pada harga EUR799 (RM3,981). Perlu diingatkan yang harga di sana sentiasa lebih mahal berbanding Malaysia. Tapi jika masuk ke Malaysia sekalipun saya rasakan harganya akan melebihi RM3,000 jika melihat pada penawaran pesaing lain yang miliki spesifikasi hampir setara.
ZenFone 8
Zenfone 8 ialah varian yang lebih kompak kepada 8 Flip, tapi ada beberapa perubahan ketara boleh anda perhatikan. Ia tidak hadir dengan komponen kamera boleh kilas sebaliknya menggunakan rekaan konvesional dengan paparan berlubang.
Menurut Asus, telefon ini direka untuk memaksimumkan potensi penggunaan sebelah tangan tanpa korbankan saiz paparan. Maka, mereka memutuskan untuk kenakan paparan 5.9” padanya, ia lebih kecil berbanding paparan iPhone 12 6.1”. Panel paparan Zenfone 8 ialah daripada Super AMOLED dan miliki kadar segar semula 120Hz.
Atas papan utama, ia turut diperkasa Snapdragon 888 tapi konfigurasi RAM dan storan model ini lebih pelbagai. Anda boleh dapatkannya dalam varian:
- RAM 6GB + storan 128GB
- RAM 8GB + storan 128GB
- RAM 8GB + storan 256GB
- RAM 16GB + storan 256GB
Ini mungkin satu-satunya telefon Snapdragon 888 yang hanya ada dua kamera belakang. Zenfone 8 ada kamera utama 74MP dan kamera ultralebar 12MP. Untuk kamera depan, pengguna akan terima kamera 12MP.
ZenFone 8 ialah telefon Asus pertama yang ada penawaran IP68. Namun ia tidak bermakna jek audio 3.5mm perlu dikeluarkan sebab ia masih dikekalkan malahan ada juga speaker stereo untuk kegunaan anda.
Walaupun ada badan lebih kecil berbanding iPhone 12, ia miliki bateri yang agak besar. Pada paras 4,000mAh, ia cukup besar untuk piawaian 2021. Tangki tersebut boleh dicas pantas melalui pengecas 30W yang disertakan dan ia turut sokong teknologi QC4.0 dan PD melalui pengecas pihak ketiga.
Dalam pasaran Eropah, Zenfone 8 akan dijual pada harga bermula EUR599 (RM2,899)