Telefon pintar siri Zenfone akhirnya kembali ke Malaysia. Hari ini dua model dilancarkan, iaitu Zenfone 8 dan Zenfone 8 Flip. Kedua-duanya memiliki prestasi kelas flagship dengan penggunaan pemproses Snapdragon 888.
Asus Zenfone dan Zenfone 8 Flip dijual di Malaysia bermula hari ini, 28 Mei 2021 di Stor Digital Asus, pengedar sah Asus serta satu model akan dijual secara eksklusif di Shopee. Harga jualan adalah seperti berikut:
- Zenfone 8 (RAM 8GB + storan 128GB) – RM2,699
- Zenfone 8 (RAM 16GB + storan 256GB) – RM3,299 eksklusif di Shopee
- Zenfone 8 Flip (RAM 8GB + storan 256GB) – RM2,999
Untuk pembelian antara 28 Mei sehingga 11 Jun 2021, akan turut menerima hadiah percuma iaitu casing SolidSuit.
Selain itu, Asus juga ada menyediakan program tukar tebus buat pemilik model lama Zenfone. Hanya di pengedar sah Asus terpilih, bawa telefon pintar Zenfone yang lama dan terima rebat RM200 untuk membeli siri Zenfone 8 yang baharu.
Zenfone 8
Tarikan utama telefon pintar ini adalah rupa kompaknya. Zenfone 8 memiliki skrin sebesar 5.9-inci sahaja, dari jenis AMOLED 120Hz dan dilapisi kaca terbaik Corning iaitu Gorilla Victus. Pretasi hebatnya ditambah lagi dengan penggunaan RAM LPDDR5 sehingga 16GB, paling besar di pasaran Malaysia sekarang.
Dengan skrin kecil, ia juga memiliki kapasiti bateri agak kecil iaitu 4,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 30W. Kamera juga dikurangkan kepada dua lensa di belakang, gandingan kamera utama 64MP F1.8 dan kamera ultra lebar 12MP F2.2. Kamera hadapannya 12MP, terletak di dalam lubang di dahi skrin.
Telefon ini juga adalah yang pertama dari Asus yang kalis air dan debu, diiktiraf IP68. Sistem operasi ZenUI 8 berasaskan Android 11 digunakan untuk Zenfone 8.
Zenfone 8 Flip
Kelebihan telefon ini yang tiada pada telefon lain adalah kamera boleh kilasnya. Ini menjadikan kamera belakang boleh digunakan juga di hadapan. Terdapat tiga kamera di dalam modul boleh kilas ini iaitu kamera utama 64MP F1.8, kamera ultra lebar 12MP F2.2 dan kamea telefoto 8MP dengan 3x zum optikal.
Kamera boleh kilas ini juga membolehkan skrin penuh tanpa takuk dan lubang digunakan. Zenfone 8 Flip memiliki skrin besar 6.67-inci dari jenis AMOLED 90Hz. Ia menggunakan kaca Corning Gorilla 6 di lapisan luar skrin.
Bateri pula berkapasiti 5,000mAh dipasang di dalam, dengan sokongan pengecasan pantas 30W. Perlu diambil perhatian, telefon ini tidak kalis air kerana modul kamera boleh kilasnya.