Pengguna Shopee akan menikmati yuran penghantaran lebih murah mulai 17 Jun 2021, tetapi tidak lagi boleh memilih penghantarnya. Perkara ini diberitahu oleh Shopee menerusi status di media sosial mereka.
Berkuatkuasa 17 Jun 2021, pelanggan di Shopee tidak akan boleh memilih syarikat penghantaran dan kurier, sebaliknya Shopee akan meletakkan semuanya di bawah Standard Delivery atau Penghantaran Biasa. Menurut Shopee, pihak mereka akan memilih penghantar bagi mengoptimumkan penghantaran.
Dengan ini juga, Shopee boleh menawarkan kos penghantaran yang lebih rendah. Jika sebelum ini kos penghantaran Poslaju sekitar RM5, cara baru Shopee ini memberikan yuran penghantaran serendah RM2 sahaja.
Cara optimum ini mungkin dengan mengumpulkan dahulu tempahan sehingga mencapai jumlah yang banyak, baru diberikan kepada satu syarikat penghantaran, sekaligus mengurangkan kos penghantaran. Tetapi ia mengakibatkan penghantaran menjadi lebih lambat kerana perlu dikumpulkan dahulu.
Bagaimanapun, pengguna masih boleh menikmati penghantaran percuma, jika penjual ada menawarkannya atau menyertai program penghantaran percuma Shopee jika mencapai jumlah pembelian tertentu.
Tetapi perkara ini rata-ratanya tidak disukai ramai apabila banyak komen negatif mengenainya. Kebanyakan mengadu bahawa pembeli lebih mengetahui penghantar mana paling bagus di kawasan mereka. Penjual pula menjangka mereka akan menerima lebih banyak komen negatif kerana masalah penghantar, yang berada di luar kawalan penjual dan kini di luar kawalan pembeli.
Malah, ramai mengatakan bahawa mereka menggunakan Shopee berbanding Lazada, kerana boleh memilih penghantar. Lazada sudah lama tidak membenarkan pengguna memilih penghantar dan memilih secara optimum penghantar bagi pihak pembeli.
[Sumber: Shopee]