Pengguna Astro yang menggunakan Set-Top-Box (STB) di rumah melalui satelit, mungkin berhadapan gangguan siaran bukan kerana hujan, tetapi masalah teknikal di satelit. Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh Astro menerusi media sosial rasmi mereka.
Menurut Astro, penyedia perkhidmatan satelit mereka berhadapan gangguan sekitar petang semalam, 21 Jun 2021 dan ia mengakibatkan beberapa saluran tidak dapat ditonton. Baik pulih sedang dijalankan dan saluran akan boleh ditonton semula secara berperingkat.
Sebagai penyelesaian sementara, Astro meminta pengguna untuk menonton menerusi aplikasi Astro Go yang boleh dimuat turun di Apple AppStore dan Google PlayStore, atau portal astrogo.astro.com.my.
Pagi ini, Astro memaklumkan status baik pulih mereka. Penyedia perkhidmatan satelit mereka memerlukan lebih masa untuk memulihkan semula signal satelit dan saluran Astro. Bermakna ia masih belum diselesaikan sepenuhnya. Pengguna sekali lagi diminta untuk menonton menerusi Astro Go.
Astro meminta maaf di atas kesulitan yang dihadapi. Di samping itu, Astro juga meminta pengguna untuk mematikan dan menghidupkan semula STB untuk melihat saluran yang telah pulih, boleh ditonton.
Dengan masalah yang timbul kepada majoriti pengguna, Astro mungkin akan memberikan saguhati kepada pengguna. Semoga ia sesuatu yang berbaloi buat pengguna. Lebih baik kalau dalam memberi rebat selama mana masalah berlaku.