Telekom Malaysia (TM) akan memiliki Pengerusi Lembaga Pengarah baharu bulan hadapan, apabila mengumumkan peletakan jawatan pengerusi sedia ada, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh berkuatkuasa 31 Julai 2021. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah TM pada bulan Mei 2020.
Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh dilaporkan akan dilantik sebagai Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas) pada 1 Ogos, menggantikan tempat Tan Sri Ahmad Nizam Salleh yang meletak jawatan dan dilantik sebagai Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB).
Lembaga Pengarah TM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh atas kepimpinan dan sumbangan beliau kepada Kumpulan TM sepanjang tempoh beliau berkhidmat.
Dalam kenyataan yang sama, TM turut mengumumkan pengganti beliau. Berkuatkuasa 1 Ogos 2021, Dato’ Mohammed Azlan Hashim akan dilantik memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah TM untuk mengisi kekosongan tersebut.
Dato’ Mohammed Azlan Hashim pada masa ini merupakan ahli Lembaga Pengarah Khazanah sejak 1 April 2020. Beliau juga merupakan ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Panel Pelaburan KWSP. Selain itu, beliau turut menjadi Pengerusi di beberapa entiti senaraian awam termasuklah D&O Green Technologies Berhad, Marine & General Berhad dan IHH Healthcare Berhad.
Beliau mempunyai pengalaman kerjaya yang luas dalam sektor-sektor korporat termasuklah perkhidmatan kewangan dan pelaburan. Antaranya, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif, Bumiputra Merchant Bankers Berhad; Pengarah Urusan, Amanah Capital Malaysia Berhad dan Pengerusi Eksekutif, Bursa Malaysia Berhad. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Monash University, Melbourne dan merupakan seorang Akauntan Berkanun (Chartered Accountant) yang bertauliah. Beliau juga adalah Felow di Institute of Chartered Accountants, Australia, Institute of Chartered Secretaries and Administrators, dan Ahli Institut Akauntan Malaysia (Malaysian Institute of Accountants – MIA).
Lembaga Pengarah TM mengucapkan selamat maju jaya kepada Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke dalam apa jua yang beliau ceburi selepas ini. Pada masa yang sama, mereka turut mengalu-alukan kedatangan Dato’ Mohammed Azlan sebagai Pengerusi TM yang baharu.