Kelonggaran buat rakyat Malaysia yang telah lengkap vaksin COVID-19 ditambah lagi. Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa negeri di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), akan dibenarkan makan di kedai mulai 20 Ogos 2021.
Kebenaran ini diberikan selepas Majlis Keselamatan Negara melihat lebih 50% orang dewasa di Malaysia telah lengkap vaksin COVID-19. Sehingga 19 Ogos 2021, seramai 12,079,978 atau 51.6% populasi orang dewasa telah lengkap 2 dos vaksin. Pencapaian ini lebih awal dari yang disasarkan iaitu pada 31 Ogos 2021.
Makan di kedai dibenarkan
Dalam kenyataan Perdana Menteri, makan di kedai kini dibenarkan di negeri Fasa 1 PPN dan ke atas, mulai 20 Ogos 2021. Pengusaha restoran dan kedai makan, disarankan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar kedai bagi pengudaraan yang lebih baik.
Selain itu, pemilik kedai makan juga perlu memastikan SOP dipatuhi, antaranya pengunjung mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 di MySejahtera, yang menunjukkan mereka telah lengkap vaksin. Jika membawa anak-anak berusia di bawah 18 tahun, harus mematuhi SOP yang ketat.
Bersukan tanpa sentuhan dibenarkan
Aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (di luar) juga dibenarkan bagi negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya, serta terpakai di dalam daerah yang sama sahaja. Ia dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka termasuk separa terbuka, bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam.
Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, papan luncur, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (perseorangan), badminton (perseorangan), golf, permotoran dan seumpamanya. Aktiviti perkelahan dan perkhemahan turut dibenarkan. Penyertaan anak-anak di bawah 18 tahun dibenarkan, dengan pematuhan SOP yang ketat.
Aktiviti makan di restoran atau kafe di club house adalah dibenarkan selaras dengan kebenaran makan di kedai. Pemilik kedai perlu memastikan mereka yang masuk untuk makan di kedai, mesti menunjukkan telah menerima vaksin lengkap menerusi sijil digital vaksinasi COVID-19 di MySejahtera.
Bagaimanapun, operasi bilik persalinan atau bilik mandi di club house adalah tidak dibenarkan. Ini bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan di kawasan tertutup.
Pasar Malam dan Pasar Minggu dibenarkan
Selain Pasar Tani dan Pasar Pagi yang dibenarkan beroperasi sebelum ini, kerajaan kini membenarkan operasi Pasar Malam dan Pasar Minggu dibuka. SOP sama seperti kedai makan perlu dipatuhi, seperti pengunjung mesti menunjukkan telah menerima vaksin lengkap menerusi sijil digital vaksinasi COVID-19 di MySejahtera.
Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pembukaan beberapa sektor ekonomi untuk negeri di Fasa 1 dan 2 mulai 16 Ogos 2021. Antaranya membenarkan pembukaan kedai cuci kereta, kedai perabot, kedai elektrik, kedai elektronik, kedai peralatan sukan dan banyak lagi. SOP baru untuk kebenaran ini adalah hanya yang lengkap vaksin dibenarkan masuk.
Buat masa ini, negeri di dalam Fasa 1 adalah Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Putrajaya.
Maksud vaksin yang lengkap adalah 14 hari selepas menerima dos kedua vaksin jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac. Manakala vaksin 1 dos iaitu CanSino dan Johnson & Johnson, dikira lengkap selepas 28 hari disuntik vaksin.
[Sumber: Facebook]