Sebagai pemilik kereta, pasti kita mahu keadaan yang selesa untuk memandu. Macam-macam aksesori dibeli, dipasang dan ditambah untuk kenyamanan di dalam kenderaan. Salah satu perkara tersebut adalah lapik kaki.
Tugas lapik kaki ini adalah untuk memerangkap kotoran yang terletak di kasut atau selipar. Kebanyakan kenderaan datang dengan lapik kaki yang diperbuat daripada fabrik berbulu.
Sebagai penyelesaian, ramai yang menukar lapik kaki ini kepada jenis getah atau dengan bulu buatan getah. Sebab lebih senang nak dibersihkan.
Kerana itu, saya mengambil peluang untuk mencuba lapik kaki kenderaan keluaran Trapo.
APA ITU TRAPO?
Trapo menghasilkan lapik kaki dalam kenderaan yang menurut mereka, paling ‘hygienic’ atau paling bersih. Ia boleh membunuh 99% bakteria, 3x lebih tahan lasak berbanding lapik kaki biasa, tidak berbau, tidak licin, kalis air, mudah dibersihkan, serta mudah memerangkap tanah & kotoran.
Banyak betul kehebatan yang Trapo senaraikan untuk produk mereka ni. Keyakinan Trapo ni ditambah lagi dengan jaminan sekurang-kurangnya 1 tahun.
Jadi, kena cuba untuk melihat kecanggihan yang dikatakan Trapo ini.
PEMBELIAN
Untuk mendapatkan lapik kaki Trapo ini, ia boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web Trapo Malaysia, atau kedai rasmi Trapo di Lazada dan Shopee.
Nak beli Trapo pun ada banyak pilihan. Ia ada tiga model lapik kaki iaitu Trapo Hex, Trapo Classic dan Trapo Eco. Selain memilih model kereta, lapik kaki Trapo juga boleh dipilih untuk warna lapik dan warna garisan tepi.
Di sini, saya telah membuat pilihan untuk mendapatkan Trapo Classic Mark II, untuk kereta Proton Saga automatik model 2019. Ada 2 warna lapik boleh dipilih, antara hitam dan kelabu. Warna garisan pula ada empat: hitam, kelabu, biru dan merah. Saya memilih warna lapik hitam dan warna garisan kelabu.
Jumlah yang harus dibayar untuk pilihan ini adalah RM239.90. Dalam set ini, saya akan menerima lapik kaki untuk pemandu, penumpang hadapan dan penumpang belakang.
Trapo juga ada menawarkan lapik getah untuk but belakang kereta. Harga untuk lapik but kereta Trapo Classic Mark II bagi Proton Saga 2019 adalah RM219.90. Tetapi jika dibeli bersama, dapat diskaun 30%. Maka jumlah harga untuk lapik kaki dalam kereta dan but kereta Trapo adalah RM393.83.
Dapatkan diskaun tambahan 10% menggunakan kod diskaun SOYACINCAU10 semasa checkout. Contohnya untuk pembelian di atas, jumlah yang perlu dibayar hanya RM354.45.
Untuk jaminan, Trapo menyatakan bahawa lapik kaki Classic Mark II ini dijamin tahan untuk setahun bagi jahitan garisan, velcro dan lapik itu sendiri. Jaminan ini turut meliputi dua kali pengambilan dari rumah.
Akhir sekali membuat bayaran. Di laman web Trapo, mereka menawarkan bayaran menggunakan kad kredit/debit. Tiada pilihan eWallet. Tetapi pengguna boleh memilih untuk membayar secara 3x ansuran, menerusi platform Hoolah atau Atome.
Seterusnya, tunggu ia sampai di rumah.
BUKA KOTAK
Tempahan saya ini tiba di rumah kira-kira selepas 3 minggu. Mungkin masa ini diambil untuk menyediakan tempahan berdasarkan pilihan warna dan model kereta. Ditambah lagi dengan pergerakan yang terhad semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kotak yang tiba ini agak besar. Apabila didirikan, ia setinggi dada saya.
Di dalam kotak, saya menerima lapik kaki Trapo yang dibalut kemas dengan kertas. Selain itu, ia juga datang dengan pelekat kereta Trapo, buku panduan dan beg kain yang agak besar. Beg kain nampak muat menyimpan lapik kaki Trapo, tapi tidak pula disimpan di dalamnya.
Trapo Classic Mark II ni, getah dia memang tebal. Lubang pun dalam, berbentuk empat segi macam berlian. Memang patutlah boleh perangkap kotoran dengan lebih berkesan. Lepas tu ia getah, jadi mudah untuk dibasuh dengan air.
Jahitan tepi lapik ni nampak kemas. Kalau dijamin 1 tahun, memang kena baguslah, kalau tak rugi sangat asyik kena tukar kan.
Di bawah lapik kaki, ada beberapa pelekat velcro. Pelekat ni boleh melekat ke lantai kereta terus sebab ia adalah fabrik. Maka, lapik kaki Trapo ni tak mudah bergerak sebab dah melekat ke lantai.
Untuk pemandu, di lantai kereta ada dua cangkuk supaya lapik kaki tak mudah bergerak. Ini supaya pemandu lebih fokus dan tidak terganggu. Bagi Trapo, mereka menyediakan lubang yang bertutup untuk memuatkan cangkuk ini. Jadi nampak kemas sebab tidak kelihatan.
Selesai buka kotak, maka proses mengganti dan memasang lapik kaki Trapo pun dimulakan.
PERBANDINGAN
Ini gambar sebelum dan selepas saya memasang lapik kaki Trapo.
Pemandu
Penumpang Hadapan
Belakang
But Kereta
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Disebabkan PKP, saya pun jarang memandu kereta. Maka lapik kaki saya pun tidak kotor sangat. Untuk makluman anda, saya seorang yang agak rajin bersukan. Selain bermain futsal, saya juga sering bermain bola padang dan joging. Tetapi waktu PKP, futsal dan bola padang tidak dibenarkan, maka saya boleh berjoging sahaja. Kalau tak, memang kotor dengan tanah lapik kaki saya.
Secara peribadi, saya kurang gemar rasa getah di kaki. Sebagai pemandu, kadang-kadang saya lebih gemar memakai selipar dan akan bertukar ke kasut apabila keluar kereta. Jadi rasa fabrik lebih selesa.
Tetapi selepas memandu beberapa minit, tak terfikir lagi tentang rasa getah di kaki. Rasa getah Trapo pun tidak membuat rasa tidak selesa sebab ia bukan jenis getah keras seperti plastik, tetapi separa keras.
Nak membersihkan lapik kaki Trapo ni adalah kelebihan terbesar. Boleh angkat keluar tanpa bersepah. Malah debu pun tak melekat sangat, jadi tak perlu diketuk banyak kali ke dinding. Cukup melibas sekali dua sahaja.
Lagi bagus sebab Trapo ni senang basuh dengan air. Kalau kotor sangat, boleh guna sabun dan tak serap air. Jadi sangat cepat kering. Cuma, sebab ia tak menyerap, maka bau wangi sabun pun tak melekat lama. Sama macam yang dinyatakan awal tadi, Trapo ni tak berbau.
Ruang yang diliputi lapik kaki Trapo pun lebih luas berbanding lapik kaki asal. Ini boleh memastikan kotoran kurang terlepas ke lantai kereta.
RUMUSAN
Melihatkan kelebihan yang diberikan oleh lapik kaki Trapo, ia memang sangat bagus. Kekotoran mudah dibersihkan dan tidak berbau. Ditambah lagi ada jaminan 1-tahun dari kerosakan.
Tetapi nak keluarkan RM239 untuk lapik kaki, ini membuatkan saya berfikir dua tiga kali sebelum membeli. Jika dibandingkan, ada lapik kaki getah yang boleh dibeli pada harga kurang RM100. Saya pernah menggunakannya dan ia haus berlubang pada tahun ketiga. Kalau Trapo boleh tahan sehingga 5 tahun, maka ia adalah pelaburan yang sangat berbaloi.
Bagi pengguna biasa yang memandu kereta ke pejabat atau kedai sahaja, dan selesa dengan lapik kaki sedia ada, saya tidak melihat keperluan untuk mendapatkan Trapo.
Tetapi jika anda jenis yang sangat mementingkan kebersihan dan selalu mencuci dalaman kereta, atau banyak melakukan aktiviti yang membuatkan dalam kereta kotor seperti bermain bola sepak di padang, maka Trapo adalah satu naik taraf yang diperlukan. Ia bukan sahaja menjimatkan masa sebab mudah dibersihkan, malah memberi ketenangan semasa memandu disebabkan kurang terganggu kotoran atau bau kurang enak.
Jika anda berminat membeli Trapo, anda boleh mendapatkannya secara dalam talian menerusi laman web Trapo Malaysia, atau kedai rasmi Trapo di Lazada dan Shopee. Gunakan kod diskaun SOYACINCAU10 untuk mendapatkan diskaun tambahan 10% untuk pembelian di laman web Trapo Malaysia.