Beberapa hari lepas, kecoh dunia internet apabila ada laporan mengaitkan telefon pintar akan datang Apple, iPhone 13 akan dilengkapi komunikasi satelit. Tetapi perkara ini mungkin salah faham tentang laporan oleh penganalisa pasaran Apple, Ming-Chi Kuo.
Kuo sebelum ini dilaporkan berkata, iPhone 13 akan dilengkapi fungsi yang membolehkan panggilan dan SMS dibuat walaupun tiada liputan 4G atau 5G di kawasan tersebut. Ia dijayakan melalui sambungan ke satelit orbit rendah bumi atau dikenali sebagai satelit LEO (Low Earth Orbit). Sokongan sambungan satelit ini dibuat menggunakan modem Qualcomm X60 yang diubahsuai untuk menyokong komunikasi satelit.
Perkara ini disangkal oleh pakar 5G dan komunikasi mudah alih, Sascha Segan di twitternya. Menurut beliau, modem Qualcomm X65 yang akan datang, menyokong jalur B53/N53 tetapi modem X60 tidak. Mungkin modem di iPhone nanti diubahsuai menjadi X60 + B53/N53. Tetapi, ia masih tidak boleh berhubung dengan satelit.
Ini kerana spektrum B53/N53 bukan untuk kegunaan komunikasi satelit, malah jalur itu tidak digunakan oleh satelit sama sekali. Perkara ini nampak mengelirukan disebabkan nama GlobalStar, syarikat yang menjalankan perniagaan komunikasi satelit. GlobalStar juga memiliki sebahagian spektrum B53/N53 tetapi di dalam zon 2.4GHz untuk daratan (terresterial).
Kekeliruan terjadi apabila mengatakan “iPhone bekerjasama dengan GlobalStar”, diterjemah menjadi “iPhone bekerjasama dengan komunikasi satelit”.
Bloomberg dalam laporannya sebelum ini menyatakan bahawa iPhone yang akan datang, mungkin ada perkakas yang diperlukan untuk komunikasi satelit. Tetapi ia menyebut bahawa Apple sedang membangunkan sekurang-kurangnya dua ciri kecemasan yang bergantung kepada rangkaian satelit. Salah satunya dikatakan adalah Emergency Message menggunakan satelit. Ini membolehkan pengguna menghantar mesej kecemasan kepada kenalan menerusi rangkaian satelit apabila tiada sambungan rangkaian biasa.
Apple dijangka akan melancarkan siri iPhone 13 pada minggu ketiga bulan September. Walaupun komunikasi satelit LEO masih jauh dari jangkaan, pasti ada perkara lain yang menjadikan iPhone 13 lebih menarik.
[Sumber: 9to5mac, Sascha Segan]