Xiaomi telah melancarkan telefon pintar siri Xiaomi 11T pada 15 September di pentas antarabangsa. Tidak lama lagi, telefon pintar ini akan menemui peminatnya di Malaysia.
Perkara ini diumumkan oleh Xiaomi Malaysia di Facebook mereka. Majlis pelancaran tempatan akan diadakan pada hari Khamis, 23 September 2021 pukul 8 malam, secara maya. Orang ramai boleh menontonnya menerusi Facebook Xiaomi Malaysia, YouTube Xiaomi Malaysia, serta di Lazada dan Shopee.
Pada majlis pelancaran antarabangsa, Xiaomi memperkenal banyak produk baru antaranya Xiaomi 11T, Xiaomi 11T Pro, Xiaomi 11T Lite 5G NE dan tablet Xiaomi Pad 5. Xiaomi Malaysia tidak pula menyatakan sama ada mereka akan membawa kesemua produk ini, tetapi kita akan tahu lebih lanjut pada majlis pelancaran kelak.
Xiaomi 11T adalah telefon pintar berkuasa tinggi yang dilengkapi cip terbaik Mediatek iaitu Dimensity 1200 Ultra. Ia kini menggunakan skrin AMOLED 120Hz bersama speaker stereo yang menembak ke tepi. Baterinya 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 67W.
Bagi Xiaomi 11T Pro pula, cip lebih berkuasa digunakan iaitu Snapdragon 888. Ia juga memiliki pengecasan yang lebih pantas, dengan kuasa sehingga 120W. Lain-lain perkara adalah serupa dengan Xiaomi 11T.
Xiaomi Pad 5 adalah tablet berkuasa tinggi Xiaomi yang digerakkan oleh cip Snapdragon 860. Skrin LCD 11-inci padanya memiliki resolusi tinggi 2K dan kadar penyegaran 120hz. Bersamanya juga adalah 4 pembesar suara stereo. Ia turut menyokong penggunaan Xiaomi Smart Pen.
Adakah Xiaomi boleh membuat keajaiban dengan meletakkan harga Xiaomi 11T Pro di bawah RM2,000 seperti dilakukannya pada Mi 10T Pro tahun lepas? Kelihatan agak mustahil kali ini tetapi hanya Xiaomi yang mampu melakukannya.
[Sumber: Xiaomi]