Bank Negara Malaysia (BNM) dan Monetary Authority of Singapore (MAS) telah mengumumkan perancangan untuk menghubungkan sistem pembayaran masa nyata antara DuitNow di Malaysia dan PayNow di Singapura. Ini akan membolehkan pengguna di kedua-dua negara membuat pembayaran dengan mudah menggunakan kod QR, serta penghantaran dana merentas negara masa nyata.
Dalam kenyataan tersebut, BNM menerangkan bahawa fasa pertama sambungan DuitNow-PayNow ini akan dilancarkan pada suku keempat tahun 2022. Ia akan membolehkan pelanggan dan bank dan penyedia sistem kewangan yang turut serta, membuat penghantaran wang masa nyata di antara Malaysia dan Singapura, menggunakan nombor telefon. Untuk rujukan, pada tahun 2020 penghantaran wang antara Malaysia dan Singapura mencecah RM4.2 bilion.
Gabungan sistem pembayaran ini akan meliputi sistem pembayaran DuitNow QR Malaysia dan NETS QR Singapura. Jadi, pelancong Singapura di Malaysia boleh menggunakan aplikasi sedia ada di peranti mereka untuk membuat pembayaran menerusi kod QR di kedai di Malaysia yang memiliki kod QR DuitNow. Rakyat Malaysia juga boleh melakukan perkara yang sama dengan aplikasi perbankan atau eWallet yang menyokong pembayaran DuitNow, untuk membayar di kedai di Singapura dengan mengimbas kod QR NETS.
BNM menambah, penghubungan DuitNow-PayNow adalah satu lagi pencapaian penting dalam sejarah hubungan erat Malaysia dan Singapura. Ia juga selari dengan usaha kumpulan negara G20 untuk menyediakan sistem pembayaran rentas negara yang pantas, murah, inklusif dan telus. Ini juga langkah penting untuk mencapai rangkaian sistem pembayaran masa nyata di ASEAN.
Pada bulan Jun 2021, BNM dan Bank of Thailand (BOT) telah melancarkan penghubungan sistem pembayaran QR rentas negara antara Malaysia dan Thailand. Dalam fasa 1, pengguna di Thailand boleh menggunakan aplikasi mudah alih mereka untuk mengimbas kod QR DuitNow untuk membuat pembayaran di kedai di Malaysia. Dalam fasa 2 pula yang dijangka sedia digunakan pada Suku ke-4 2021, pengguna di Malaysia akan boleh menggunakan aplikasi perbankan atau eWallet untuk mengimbas kod QR PromptPay di kedai di Thailand.
DuitNow QR kini disokong oleh hampir semua bank di Malaysia, serta eWallet seperti Boost, Grab, Touch n Go eWallet dan ShopeePay. Ini memudahkan peniaga kerana hanya perlu menyediakan hanya satu kod QR dan menerima pembayaran dari pelbagai platform kewangan.
DuitNow juga membenarkan penghantaran wang antara akaun menggunakan nombor telefon atau kad pengenalan, buat masa ini hanya disokong oleh bank sahaja. Touch n Go eWallet baru-baru ini telah menerima penghantaran wang DuitNow, iaitu penerimaan dari dana akaun bank pihak ketiga. Tetapi ia hanya sehala, tidak boleh menghantar wang dari TNG eWallet ke DuitNow. Bagaimanapun, TNG eWallet ada menyediakan pilihan penghantaran dana ke akaun bank menerusi ciri GO+.
[Sumber: BNM]