Bermula pada 21 Oktober 2021, platform e-dagang Shopee mengumumkan bahawa nombor telefon pelanggan tidak akan disertakan lagi pada Air Waybills J&T Express dan Ninja Van. Hal ini bagi memastikan keselamatan dan privasi individu terpelihara. Sebaliknya, syarikat penghantar dan kakitangan kurier akan mengambil nombor telefon pelanggan melalui sistem untuk dihubungi, jika perlu.
Oleh itu, maklumat pelanggan yang akan tertera pada Air Waybills hanyalah nama, alamat dan poskod sahaja. Nombor telefon pengirim juga akan ditutup. Nampak seperti perubahan kecil, namun jika nombor telefon anda terdedah, ada risiko scammer mengambil nombor itu dan lakukan pelbagai perkara negatif menggunakannya.
Curi maklumat peribadi di bungkusan & lakukan gangguan
Tahukah anda, individu yang tidak bertanggungjawab boleh mencuri maklumat peribadi anda melalui bungkusan pembelian yang anda buang dan gunakan maklumat itu untuk tujuan tidak baik? Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah memberi amaran kepada orang ramai agar berhati-hati ketika membuang bungkusan penghantaran.
Pernah tular sebuah video menunjukkan suspek berjaya mendapatkan maklumat peribadi seseorang, melalui bungkusan kiriman yang dibuang ke dalam tong sampah di tempat awam. Mangsa kemudian dihubungi oleh suspek menggunakan nombor yang berbeza untuk mendapatkan wang.
Suspek kemudian menyamar sebagai pekerja syarikat penghantar dan datang ke rumah mangsa. Dia memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa yang berada dirumah untuk lakukan pembayaran, kerana barang yang dipesan masih belum dibayar.
Pihak berkuasa masih belum menerima laporan mengenai kejadian tersebut. Tetapi kes seperti ini akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Jika disabit kesalahan, pesalah akan menghadapi hukuman penjara sepuluh tahun dan sebat.
Maklumat peribadi individu adalah sangat penting untuk dijaga. Langkah yang Shopee lakukan ini sangat berguna bagi mengelakkan pelanggan dari diganggu oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Namun, nombor pelanggan pada Air Waybills masih akan disertakan jika pengeposan dilakukan dengan menggunakan perkhidmatan Poslaju dan City-Link Express.
Oleh itu, pastikan anda berhati-hati ketika membuang bungkusan atau sampul yang mengandungi maklumat peribadi. Buang ia dalam keadaan selamat, seperti koyakkan Air Waybills dahulu, atau conteng maklumat peribadi anda yang tertera bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan ia untuk lakukan penipuan.
[Sumber gambar: The Star]