Kes tipu siber cecah RM2.23 bilion, PDRM & Facebook lancar #TakNakScam didik orang ramai

Ramai rakyat Malaysia telah menjadi mangsa penipuan dan diperdaya, terutama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula. Penipuan kewangan adalah kes yang paling banyak berlaku, dengan penipu mengambil kesempatan terhadap kebergantungan orang ramai kepada teknologi.

Menurut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), jenayah siber di Malaysia meningkat mendadak. Sejak lima tahun kebelakangan ini, sebanyak 67,552 kes penipuan siber telah dilaporkan di antara tahun 2017 dan 20 Jun 2021, mencatat kerugian berjumlah RM2.23 bilion. Kes penipuan pembelian atas talian atau e-dagang merekodkan kes tertinggi sebanyak 23,011 kes, diikuti pinjaman tidak wujud sebanyak 21,008 kes dan penipuan pelaburan sebanyak 6,273 kes.

Sebagai usaha untuk memerangi penipuan sebegini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) PDRM dan Facebook Malaysia, dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, industri dan persatuan pengguna hari ini melancarkan kempen kesedaran #TakNakScam, untuk mendidik orang ramai tentang cara untuk mengenal pasti, menyemak dan melaporkan taktik-taktik penipuan yang digunakan oleh penipu.

Kempen ini dijalankan secara usahasama antara Jabatan CCID (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Sekuriti Suruhanjaya Malaysia (SC), Bursa Malaysia Berhad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM), CyberSecurity Malaysia (CSM), Federations of Malaysian Consumers Education (FOMCA) dan Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna-pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia).

Di Malaysia, jenis-jenis penipuan kewangan yang paling selalu digunakan termasuk penyamaran bank /pihak berkuasa, pinjaman tidak wujud, pelaburan haram, scam e-dagang serta akaun keldai/sewa akaun bank dan kad ATM yang merupakan fokus utama kempen ini.

Kenal Pasti, Semak & Lapor

Kempen #TakNakScam menyeru orang ramai untuk mengingati 3 langkah mudah:

i. Kenal Pasti: Sewaktu berurusan dengan kontak yang tidak dikenali, sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam mempertimbangkan risiko bahawa orang tersebut mungkin seorang scammer. Apabila anda dapat mengenal pasti jenis scam atau scammer, anda boleh mengelak dari menjadi mangsa.

ii. Semak: Apabila anda mengesyaki sesuatu konten atau kontak merupakan penipuan, buat semakan dengan pihak berkuasa melalui saluran-saluran rasmi.

iii. Lapor: Sekiranya konten atau panggilan telefon kelihatan aneh dan jika anda rasa anda telah menjadi mangsa jenayah, anda boleh menghubungi pihak-pihak berkuasa tempatan dan pihak polis. Juga pastikan untuk melapor sebarang aktiviti, individu atau akaun yang mencurigakan kepada pihak Facebook, Instagram, dan WhatsApp.

PDRM mengingatkan orang ramai bahawa, pihak berkuasa tidak akan membuat panggilan dan menghubungkan pemanggil dengan pihak berkuasa yang lain. Masyarakat juga harus tenang supaya dapat berfikir rasional apabila kononnya menerima panggilan daripada pihak berkuasa, seterusnya mengambil tindakan sewajarnya seperti menyemak semula dengan pihak berkuasa melalui saluran rasmi.

Di sepanjang kempen ini, video-video pendidikan, serta panduan dan petua untuk mengenal pasti, menangani dan melaporkan kegiatan penipuan akan dikongsikan secara komprehensif di pelbagai saluran dalam talian dan luar talian oleh kesemua rakan kerjasama kempen ini.

Saluran membuat laporan dan aduan

Sekiranya orang awam mengesan sebarang bentuk penipuan kewangan, mereka disarankan untuk membuat laporan kepada Pusat Tindakan Penipuan CCID yang telah beroperasi sejak 15 Februari 2021. Ia boleh dihubungi antara pukul 8 pagi hingga 8 malam setiap hari, di talian 03-26101559 dan 03-26101599.

Selain itu, lawati portal Semak Mule untuk memeriksa sama ada nombor telefon atau akaun bank tertentu digunakan dalam penipuan. Untuk maklumat terkini mengenai penipuan kewangan, sila lawati halaman Amaran Scam BNM. Untuk membuat aduan kepada BNM, sila lawati portal Telelink atau hubungi 1-300-88-5465.

Orang ramai juga boleh membuat aduan kepada KPDNHEP menerusi halaman portal e-Aduan, menghantar emel ke [email protected], atau hubungi WhatsApp di +6019 279 4317. Aduan juga boleh dihantar kepada FOMCA di portal e-aduan FOMCA atau hubungi +603 7803 6000 / +603 7805 0009.

Untuk sumber-sumber dan maklumat lanjut mengenai kempen #TakNakScam, kunjungi pusat sehenti di halaman wethinkdigital.fb.com/my/en-my/taknakscam.