Sejak kebelakangan ini, semakin kurang jenama yang melancarkan telefon pintar gaming, namun RedMagic kekal meneruskan tradisi tersebut. Kini, syarikat itu memperkenalkan peranti kelas flagship terbaharunya, RedMagic12 Pro untuk pasaran Malaysia.
Sebagai pengganti kepada RedMagic 11 Pro yang diumumkan pada November tahun lalu, ia mengekalkan rekaan serupa serta penggunaan sistem penyejukan cecair AquaCore. Walau bagaimanapun, model baharu ini tampil jauh lebih berkuasa dengan cip Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6, skrin OLED 185Hz, serta kapasiti bateri gergasi 8,400mAh.
Menariknya, telefon ini turut menggunakan kamera hadapan bawah skrin (UDC), membolehkannya menawarkan paparan penuh tanpa lubang kamera. Untuk pengetahuan anda, telefon ini telah pun dilancar pada pasaran China, tetapi dengan nama RedMagic 12 Pro+.
Harga dan ketersediaan RedMagic 12 Pro di Malaysia

RedMagic 12 Pro boleh mula dijual di Malaysia bermula 10 November 2026 pada jam 8:00 malam. Menariknya, sempena jualan 11.11, pembeli boleh menikmati potongan harga sebanyak RM500 bagi setiap varian untuk tempoh promosi terhad.
Telefon ini ditawarkan dalam dua pilihan warna, iaitu Nightfreeze dan Subzero. Berikut harga rasmi dan harga promosi bagi setiap konfigurasi:
- 12GB + 256GB: RM4,499 (harga promosi RM3,999)
- 16GB + 512GB: RM4,999 (harga promosi RM4,499)
- 16GB + 1TB: RM5,899 (harga promosi RM5,399)
Promosi 11.11 ini ditawarkan dalam tempoh terhad, sah dari 10 November pada jam 8:00 malam hingga 11 November 2026 jam 11:59 malam. Bagi yang berminat, RedMagic 12 Pro boleh didapati melalui kedai rasmi di Shopee serta laman web rasmi RedMagic Malaysia.
Spesifikasi RedMagic 12 Pro

Sebagai sebuah telefon gaming, RedMagic 12 Pro dikuasakan cip flagship terbaharu dan terhebat Qualcomm, Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 yang menggunakan proses 2nm, dengan kelajuan CPU sehingga 5GHz. Ia turut dilengkapi cip gaming khusus RedCore R5, selain Energy Cube 4.0 dan cip kawalan paparan G1.
Menurut RedMagic, cip RedCore R5 mengendalikan tugas-tugas berat seperti pengoptimuman sentuhan, kawalan pencahayaan, pemecutan pemaparan grafik, resolusi super, dan penstabilan bingkai (super-frame). Hasilnya ialah pengalaman permainan yang jauh lebih lancar dengan kependaman yang sangat rendah.

Beralih ke bahagian paparan, telefon ini menggunakan skrin OLED BOE X11 bersaiz 6.85″ beresolusi 1.5K dengan kadar segar semula sehingga 185Hz. Skrin ini menggunakan reka bentuk penuh tanpa lubang kamera kerana kamera hadapan diletakkan di bawah paparan menerusi teknologi kamera bawah skrin (UDC) generasi kesembilan.
Menurut RedMagic, ia merupakan skrin penuh sebenar pertama dalam industri dengan kadar segar semula 185Hz. Ia turut mempunyai bezel nipis 0.96mm, kecerahan puncak keseluruhan sehingga 1,900 nits dan kecerahan puncak setempat sehingga 5,000 nits. Untuk gaming, ia menyokong kadar pensampelan sentuhan segera sehingga 5,000Hz serta sentuhan ketika jari atau skrin basah.

Bagi penyejukan, RedMagic 12 Pro menggunakan sistem AquaCore 3.0 yang menggabungkan penyejukan cecair dwigelung, kipas turbo 25,500RPM, kebuk wap dan Liquid Metal 4.0. Sistem ini turut dilengkapi pencahayaan RGB. RedMagic menyatakan reka bentuk kebuk wap baharu mempunyai keluasan penyejukan berkesan 15% lebih besar berbanding generasi sebelumnya.

Satu lagi naik taraf besar adalah bahagian bateri. RedMagic 12 Pro dimuatkan bateri berkapasiti 8,400mAh, 12% lebih besar daripada bateri 7,500mAh pada RedMagic 11 Pro. Ia menyokong pengecasan pantas 80W serta pengecasan tanpa wayar. Telefon ini turut membawakan fungsi bypass charging (pengecasan pintasan) yang menyalurkan kuasa terus kepada sistem telefon untuk mengurangkan penghasilan haba semasa bermain sambil mengecas.
Walaupun mempunyai bateri lebih besar, REDMAGIC 12 Pro mempunyai ketebalan 8.5mm, lebih nipis berbanding 8.9mm pada model sebelumnya.

Penampilan ikonik RedMagic 12 masih diteruskan dengan panel belakang lutsinar yang memperlihatkan sebahagian komponen sistem penyejukannya. Ia turut mempunyai pencahayaan RGB dinamik, badan rata serta reka bentuk belakang tanpa bonggol kamera yang menonjol. Menariknya, ia juga kalis air IP68 dan IP69. Walau bagaimanapun, bahagian kipas penyejukan turbonya menerima penarafan IPX8 secara berasingan kerana menggunakan reka bentuk saluran aliran udara terbuka.
Di bahagian pengimejan, panel belakangnya menempatkan kamera utama 50MP dengan penstabilan imej optikal (OIS) dan kamera ultra-lebar 50MP, manakala swafoto dikendalikan oleh kamera 16MP di bawah skrin.

Ciri sokongan lain termasuk pengimbas cap jari ultrasonik 3D, dwi-SIM, NFC dan pemancar inframerah (IR Blaster) untuk mengawal perkakas rumah. Ia juga dilengkapi pembesar suara simetri dwi-1115E dengan Dolby Atmos, motor linear paksi X 0815 memberi maklum balas haptik, dan butang bahu dengan kadar pensampelan 520Hz ntuk kawalan tambahan dalam permainan yang serasi.
Dari segi sambungan, telefon ini menggunakan Wi-Fi 7 dan USB 3.2 Gen 2, selain mempunyai sistem antena omnidireksional 360°. RRedMagic 12 Pro menjalankan RedMagic OS 12 berasaskan Android 17 dengan pusat gaming X-Gravity, ciri Gaming AI dan Tactical Coach untuk memberikan panduan permainan bagi tajuk yang disokong. Ia turut menawarkan integrasi Google Gemini, Circle to Search, terjemahan masa nyata dan penyuntingan imej berasaskan AI.
Untuk maklumat lanjut layari laman produk RedMagic 12 Pro.






