Selepas ditangguh lebih setahun, rangkaian 5G dijadualkan akan dilancar di Malaysia pada hujung tahun ini. Ia akan diuruskan sepenuhnya oleh Digital Nasional Berhad (DNB) dan ada dibincangkan di Parlimen pada hari Isnin.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dilihat tidak faham tentang tugas dan tanggungjawab Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan sebab apa kerajaan menubuhkan DNB, syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan (MoF) untuk menguruskan rangkaian 5G sepenuhnya.
Menjawab pertanyaan ahli parlimen Kuala Langat, Dr. Xavier Jayakumar, Zahidi menyatakan bahawa DNB ditubuhkan oleh MoF sebagai syarikat tujuan khas untuk menguruskan projek 5G dan DNB mengambilalih tugas SKMM untuk membangunkan 5G. Lembaga pengarah DNB majoriti adalah lantikan MoF dan pengurusan tertinggi pula kebanyakannnya adalah warga asing dan mereka berunding dengan Ericsson. Tambahnya lagi, MoF dan Ericsson mengambil alih projek 5G tetapi SKMM akan terus mengawal harganya supaya rakyat Malaysia tidak akan dibebani.
Apabila ditanyakan mengapa Telekom Malaysia tidak menguruskan 5G, Zahidi menjawab ia adalah strategi MoF kerana ketiadaan infrastruktur dan perlu bergantung kepada Maxis dan TM.
Tambah menarik apabila Zahidi turut menyebut bahawa pendapatan yang dijana negara lain melalui bidaan spektrum 5G. Dia menyatakan bahawa Jerman mengutip lebih RM35 bilion, Thailand sekitar RM25 bilion dan beberapa negara lain menerima sekitar RM12 bilion. Untuk Malaysia, dia menjangka negara akan menerima kira-kira RM10 bilion jika spektrum ini dibida. Tetapi katanya, spektrum ini diuruskan oleh DNB dan Ericsson, bukan lagi SKMM.
Apabila ahli parlimen Muar, Syed Saddiq bertanyakan soalan lanjut tentang dana RM11 bilion DNB, Zahidi menjawab dengan bertanya semula mengapa spektrum 5G dijual kepada DNB apabila ia sepatutnya diberikan kepada SKMM. Dia menjelaskan, SKMM mempunyai kuasa di bawah akta berkaitan dan bukannya DNB. Kerana itu, SKMM sepatutnya memiliki kuasa penuh dan jika Maxis mahu meminta spektrum, mereka boleh memohon daripada SKMM, termasuk TM juga.
Ahli parlimen Ledang, Syed Ibrahim turut bertanya timbalan menteri tentang kenapa hanya jalur spektrum 700MHz, 3.5GHz, 26GHz dan 28GHz dikenalpasti untuk kegunaan 5G dan apa persediaan kementerian untuk menyelesaikan masalah yang mungkin timbul pada frekuensi C-Band. Jawab Zahidi, Syed Ibrahim harus bertanya kepada DNB kerana urusan spektrum telah diberikan kepada mereka.
Zahidi juga menyatakan, DNB ada kepakaran dalam menjawab kerana beberapa orang mereka pernah bersama SKMM.
Tidak masuk akal
Agak mengejutkan apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia tidak mengetahui tentang tujuan kerajaan menjalankan projek 5G menerusi satu syarikat sahaja dan kenapa DNB ditubuhkan. Ini petanda yang merisaukan kerana pembuat dasar di kementerian dilihat tidak faham perkara yang penting. Malah, dia menyebut spektrum 5G dijual kepada DNB sedangkan ia tidak tepat kerana spektrum tersebut dianugerahkan secara runding terus. Selain itu, spektrum tidak perlu diberikan kepada SKMM kerana ia adalah pengawal selia, bukan syarikat telekomunikasi.
Penganugerahan terus spektrum kepada DNB telah menjadi persoalan oleh pembangkang. Pemuda Pejuang telah mengeluarkan kenyataan bulan lepas menyatakan bahawa kerajaan Malaysia bakal kehilangan peluang menjana keuntungan RM5 bilion jika spektrum diberikan secara tender terbuka. Manakala Pakatan Harapan berkata, anugerah terus spektrum kepada DNB mengakibatkan kerugian sekitar RM7 bilion ke RM12 bilion pendapatan kepada kerajaan.
Walaupun spektrum dianugerahkan kepada DNB, SKMM masih memiliki kuasa terhadap spektrum dan agak pelik jika Zahidi masih terus menolak tanggungjawab kepada DNB yang bertindak sebagai pemegang lesen sahaja.
Zahidi Zainul sering menjadi tajuk berita kerana kenyataannya di dalam dan di luar parlimen. Tahun lepas, dia ditempelak orang ramai kerana menuduh Vevonah sebagai penipu. Kemudian dia beritahu wartawan bahawa kerajaan mahu perkenal caj perkhidmatan beli-belah dalam talian, yang kemudiannya dinafikan oleh kementerian. Dia juga menuduh pengundi kerana mengakibatkan ketidakstabilan politik tahun lepas.
Paling mengejutkan apabila Zahidi menyalahkan SKMM, pengawal selia dibawah kementeriannya sendiri, kerana tidak melakukan apa perkara untuk meningkatkan liputan internet di kawasan kurang capaian, semasa menjawab soalan di parlimen.
Tanggungjawab SKMM dalam mengurus spektrum 5G dan perkhidmatan
SoyaCincau pernah menemubual Pengerusi SKMM, Dr Fadhlullah Suhaimi dan dia menjelaskan bahawa langkah SPV (syarikat tujuan khas) akan mengabaikan proses bidaan. Kebiasaannya, kerajaan akan menerima dana daripada bidaan, tetapi kos bidaan ditanggung oleh syarikat telekomunikasi dan ia akan disalurkan pula kepada pengguna. Dengan menukar bidaan spektrum kepada anugerah terus kepada DNB, ia akan mengurangkan kos tetapi Dr Fadhlullah menegaskan bahawa spektrum masih menjadi milik negara sebagai aset kebangsaan.
DNB sebagai pemegang lesen masih tertakluk di bawah kawal seliaan SKMM dan DNB akan menerima layanan yang sama seperti syarikat telekomunikasi lain di Malaysia. Di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, SKMM boleh mengambil tindakan terhadap syarikat telekomunikasi jika mereka tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan sebagai pemegang lesen.
Seperti yang dijelaskan oleh pengerusi, akan ada harga capaian standard mandatori untuk perkhidmatan borong 5G tetapi mereka tidak akan mengawal harga runcit. Dia menyatakan, adalah tidak wajar untuk SKMM mengawal harga runcit dan lebih baik jika dibuat secara terbuka kerana pengguna boleh mendapat manfaat daripada persaingan yang tinggi. SKMM sedang cuba mengurangkan harga barangan utama kepada harga kos supaya harga borong akan rendah dan seterusnya harga runcit produk akan lebih baik untuk pengguna akhir.
Menurut DNB, mereka mensasarkan untuk mengaktifkan sebanyak 500 tapak 5G di Cyberjaya, Putrajaya dan beberapa tempat di Kuala Lumpur menjelang hujung tahun ini. DNB mendakwa bahawa rangkaian 5G mereka mampu memberikan kelajuan 100Mbps di hujung kawasan liputan dan mensasarkan untuk mencapai 80% liputan kawasan populasi menjelang 2024.
[Sumber: SoyaCincau]