Poco Global akan melancarkan telefon pintar mampu milik baru, Poco M4 Pro 5G pada 9 November 2021. Tetapi nampaknya bukan itu sahaja, Poco mahu melancarkan satu lagi telefon pintar baru di majlis yang sama, Poco F3.
Agak aneh sebab Poco F3 sebenarnya telah lama dilancarkan, pada bulan Mac tahun ini. Ia menjadi kegemaran ramai kerana memiliki kuasa flagship Snapdragon 870, pada harga sangat murah, di bawah RM1,500.
Tetapi muat naik di media sosial rasmi @PocoGlobal tentang Poco F3 akan kembali ini agak samar-samar. Dari gambar, tidak kelihatan sebarang petunjuk tentang apa yang baru. Malah, perkataan dan teks yang terdapat padanya tidak membawa sebarang maksud khusus atau baru.
Tiada khabar angin juga tentang perkara baru untuk Poco F3, apatah lagi berita terbocor. Sama ada Poco dapat menyimpan rahsia ini dengan sangat ketat, atau perkara baru padanya tidak terlalu besar. Mungkin warna baru, atau tambahan RAM dan storan sahaja.
Ada yang berharap, pengumuman ini akan membawakan Poco F3 GT ke peringkat global. Poco F3 GT hanya dilancarkan di India, dengan tarikan pada butang bahu mekanikal yang sangat digemari peminat game mudah alih
Telefon ini dikuasakan cip Mediatek Dimensity 1200, RAM LPDDR4x, skrin AMOLED 120Hz dan pengecas 67W. Secara ringkas, prestasi Poco F3 GT nampak lebih rendah berbanding Poco F3 yang telah sedia ada. Tetapi ia ada butang bahu mekanikal, yang setakat ini belum terdapat di model global peranti Poco dan Xiaomi.
Untuk rujukan, Poco F3 yang dilancarkan di Malaysia menggunakan cip Snapdragon 870, RAM LPDDR5, storan UFS 3.1, bateri 4,520mAh dan pengecasan pantas 33W. Skrinnya jenis AMOLED 120hz berukuran 6.67-inci.
Kita tunggu apakah perkara baru yang akan diumumkan untuk Poco F3 esok, di samping pelancaran Poco M4 Pro 5G.
[Sumber: @PocoGlobal]