OnePlus Nord 2 adalah telefon pintar kelas pertengahan, yang telah dilancarkan pada bulan Julai lepas. Ia telah dijual di beberapa negara seperti United Kingdom dan India, tetapi masih belum ada berita akan tiba ke Malaysia.
Bagaimanapun, sudah ada banyak berita panas tentang OnePlus Nord 2 dilaporkan berlaku di India. Kesemuanya tentang terbakar dan meletup.
Seorang pengguna India, Suhit Sharma berkongsi gambar yang menunjukkan sebuah telefon pintar yang kelihatan terbakar teruk. Bukan itu sahaja, ia turut menunjukkan seluar jeans yang berlubang serta kulit manusia terbakar teruk.
Menurut Suhit, telefon tersebu adalah OnePlus Nord 2 dan ia mengakibatkan kulit seorang budak lelaki melecur teruk kerana telefon tersebut meletup. Tambah Suhit, pihak OnePlus India telah menghubungi mereka dan bekerjasama untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Dalam kenyataan kepada 91mobiles, OnePlus mengatakan bahawa mereka mengambil serius terhadap kejadian ini. Pasukan OnePlus telah menghubungi mangsa dan dalam proses mengumpul maklumat untuk menyiasat dengan lebih lanjut.
Kes 2: Atas Basikal
Rupa-rupanya, ini bukanlah kes pertama OnePlus Nord 2 meletup atau terbakar. Pada bulan Ogos, seorang pengguna OnePlus Nord 2 dari Bengaluru, Ankur Sharma mengatakan telefon tersebut yang digunakan isterinya telah meletup dan mengeluarkan asap. Perkara itu berlaku ketika isterinya menaiki basikal.
Perkara ini dikongsi oleh Ankur di twitter, bagaimanapun dia telah memadamnya tidak lama kemudian selepas dihubungi OnePlus. LetsGoDigital menyatakan, Ankur telah ditawarkan pampasan dan ini mungkin membuatkannya memadam tweet tersebut. Tiada berita lanjut tentang kes tersebut diketahui selepas itu.
Kes 3: Di Mahkamah
Selepas itu pada bulan September, seorang peguam memuat naik gambar telefon pintar yang sama, meletup di dalam jubah semasa dia di dalam mahkamah. Gaurav Gulati mengatakan, dia merasakan sesuatu yang hangat dan asap keluar dari poket jubah, sebelum menyedari ia adalah telefon OnePlus Nord 2 miliknya terbakar. Dia mencampak jubah tersebut dan telefon itu meletup selepas itu. Menurut Gaurav, telefon itu terbakar bukan semasa dicas dan baterinya ada 90% sewaktu itu.
Gaurav menambah, OnePlus ada menghubunginya untuk siasatan lanjut dan menawarkan pampasan, tetapi dia menolaknya dan mahu membuat aduan kepada pihak polis. Di mahu pihak berkuasa mengeluarkan arahan menghentikan jualan OnePlus Nord 2 di India.
Tetapi tidak lama kemudian, syarikat pemasaran dan jualan OnePlus di India, Mobitech Creation Pvt. Ltd telah menghantar notis perundangan yang mahukan dia memadam semua tweet berkenaan OnePlus Nord 2 kerana dikatakan cuba merosakkan imej OnePlus.
Kes 4: Pengecas Meletup
Satu lagi kes dilaporkan tentang OnePlus Nord 2, tetapi kali ini pengecasnya meletup. Berlaku di Kerala, pengecas OnePlus Warp 65W meletup ketika mengecas telefon. Tetapi ia terjadi semasa hujan lebat dan turut merosakkan kepala soket.
Jimmy Jose bernasib baik kerana telefon OnePlus NOrd 2 dia yang sedang mengecas ketika itu, tidak mengalami kerosakan. Jimmy menghantar pengecas tersebut ke pusat khidmat dan dapat penggantian kepala pengecas baru. Juruteknik yang melihat kes ini mengatakan, kepala soket tersebut bermasalah dan tiada letupan berlaku. Dia meminta Jimmy untuk memeriksa masalah tersebut di rumah.
Setakat ini, semua laporan OnePls Nord 2 terbakar dan meletup ini berlaku di India sahaja. Tetapi sudah berlaku tiga kes letupan yang kelihatan sangat serius berlaku. Langkah yang lebih selamat adalah OnePlus menghentikan seketika jualan OnePlus Nord 2 dan mengumumkan semua laporan terhadap kes yang berlaku. Jika yakin bukan masalah telefon itu sendiri, barulah jualan disambung semula. Jika tidak, lebih baik berhenti menjualnya sebelum ada nyawa melayang.
[Sumber: 91mobiles, Suhit Sharma]