Skrin OLED Samsung adalah skrin yang diminati ramai, apatah lagi Samsung adalah pengeluar skrin AMOLED terbesar di dunia. Samsung juga telah memperkenal skrin AMOLED lipat menerusi siri Galaxy Z Fold dan Galaxy Z Flip.
Adakah Samsung masih ada inovasi baru untuk teknologi skrin? Nampaknya ada.
Samsung telah membangunkan satu laman web baru yang menunjukkan teknologi skrin OLED mereka. Malah, ia juga menyenaraikan beberapa jenis skrin mereka yang fleksibel dan boleh lentur. Terdapat lima kategori iaitu:
- Flex Bar
- Flex Note
- Flex Square
- Rollable Flex
- Slidable Flex
Flex Bar adalah skrin kecil boleh lipat seperti Galaxy Z Flip 3, manakala Flex Note adalah skrin besar seperti laptop yang boleh dilipat. Flex Square pula untuk tablet boleh lipat seperti Galaxy Z Fold 3.
Apa yang menarik adalah dua kategori yang bukan jenis lipat. Rollable Flex ialah skrin boleh gulung dan ia dilihat boleh digunakan untuk TV bersaiz besar. Perkara ini telah diperlihatkan LG di TV mereka sebelum ini.
Slidable Flex pula adalah skrin boleh luncur, dengan konsep hampir serupa dengan menggulung. Berbanding menyimpan sepenuhnya jika digulung, skrin luncur mengekalkan skrin utama dan ia boleh dipanjang atau diluaskan. Contoh skrin ini ada ditunjukkan oleh Oppo tahun lepas.
Selain jenis skrin OLED lentur ini, Samsung juga menerangkan skrin mereka boleh lentur dengan radius lebih kecil, R=1.4 berbanding pengeluar lain R=5. Skrin OLED Samsung juga lebih teguh kerana menggunakan kaca yang digelar Ultra Thin Glass (UTG).
Samsung juga menyatakan, mereka telah menguji skrin lentur mereka dan ia bertahan dengan penggunaan 100 kali melipat sehari selama 5 tahun. Secara ringkas, ia boleh bertahan sehingga 200,000 kali lipat dan masih berfungsi dengan baik.
Adakah kita akan dapat melihat skrin gulung dan luncur di peranti Samsung tahun hadapan? Setakat ini, masih tiada berita terbocor yang mengatakannya. Tetapi Samsung boleh membuat kejutan, seperti mana mereka berjaya menyimpan rahsia Galaxy Fold dengan ketat sehingga hari pelancarannya.
[Sumber: Sammobile]