Dalam majlis Inno Day 2021, Oppo telah mengumumkan satu telefon boleh lipat yang diberi nama Oppo Find N. Saya melihatnya sebagai alternatif kepada Galaxy Z Fold3 dengan spesifikasi berkelas flagship.
Harga Oppo Find N
Setakat ini, Oppo Find N hanya boleh didapati dalam pasaran China. Tempahan akan dimulakan pada 15 Disember 2021 dan hari pertama jualan pada 23 Disember 2021. Pengguna di sana boleh membeli seunit telefon boleh lipat ini pada harga seperti berikut:
- RAM 8GB + storan 256GB – RMB7,699 (RM5,115)
- RAM 12GB + storan 512GB – RMB8,999 (RM5,979)
Sebagai perbandingan, berikut adalah harga Samsung Galaxy Z Fold3 di Malaysia
- RAM 12GB + storan 256GB – RM6,699
- RAM 12GB + storan 512GB – RM7,099
Spesifikasi Oppo Find N
Selain daripada Galaxy Z Fold, dulu kita pernah ada Huawei Mate X di Malaysia, tapi sekarang macam dah sunyi sepi. Melalui sesi hands-on singkat dengannya, saya gemarkan rupa fizikal telefon ini berbanding Z Fold3. Dalam keadaan berlipat, dimensinya lebih kurang denggan saiz iPhone 13 mini.
Dalam keadaan tertutup, anda boleh gunakan paparan OLED sebesar 6.5″ pada resolusi HD+. Apabila dibuka, anda boleh gunakan paparan 7.1” dalam nisbah paparan hampir segi empat sama iaitu 8.4:9. Panel bahagian dalam menggunakan teknologi LTPO dengan refresh rate boleh berubah-ubah daripada 1Hz hingga 120Hz untuk tujuan penjimatan tenaga.
Bercerita tentang lipatan, Oppo katakan yang engsel hasil tangan mereka lebih baik daripada pesaingnya.
Apabila dilipat, tiada sebarang ruang diantara skrin yang dilipat. Biasanya, untuk telefon boleh lipat lain, anda akan dapat lipatan seperti penyental pintu disebabkan had mekanisme lipat itu sendiri. Di Oppo, mekanisme engsel telefon ini diberi nama Flexion Hinge dan ia diuji sebanyak 200 ribu kali untuk pastikan ketahanannya.
Satu perkara menarik tentang Flexion Hinge adalah FlexForm Mode. Apabila anda membuka lipatan telefon, ia boleh mengekalkan sudut bukaan antara 50° hingga 120°. Jadi, anda boleh gunakannya seperti kaki tripod bila mengambil gambar ataupun sewaktu melayani kandungan multimedia.
Atas papan utama, ia diperkasa Snapdragon 888 dengan RAM sehingga 8 12GB dan storan sehingga 512GB.
Pada sudut kamera, ia menggunakan sistem tiga kamera belakang. Kamera utamanya ada kamera 50MP, diikuti kamera ultralebar 16MP dan kamera telefoto 13MP. Untuk selfie, anda boleh gunakan kamera 32MP. Kemasan kamera belakang Find N adalah unik dan nampaknya diwarisi daripada Oppo Find X3 Pro.
Bateri berkapasiti 4,500mAh memberikan segala tenag yang diperlukan komponen elektronik. Ia dicas pantas dengan teknologi SuperVOOC 33W ataupun AIRVOOC 15W. Ia juga ada ciri reverse wireless charging 10W untuk dimanfaatkan. Pada kapasiti bateri itu, saya rasakan cukup untuk bawa anda tempuhi hari-hari anda kerana kedua-dua paparan luar dan dalam adalah panel OLED yang jimat bateri ditambah pula dengan pemproses Snapdragon 888 yang juga cekap tenaga. Faktor paling penting dalam penggunaan bateri adalah bagaimana sistem operasi ColorOS 11 mengawal selia sistem pengkomputeran telefon ini.
Saya tak sempat untuk pandu uji sistem operasi ColorOS 11 secara menyeluruh. Tapi Oppo jamin yang sistem operasi ini telah diubah suai untuk mesra peranti boleh lipat. Ada beberapa fungsi menarik yang disuntik seperti sistem multitasking yang lebih intuitif.
Itu sajalah untuk hands-on kali ini, kami akan terus kongsikan maklumat kalau ada set reviu singgah ke pejabat kami.
Pada saya, Oppo Find N ada potensi untuk mencuri sedikit sebanyak pegangan pasaran telefon boleh lipat di Malaysia. Di tempat kita cuma da Z Flip3 dan Z Fold3 sahaja. Harganya di China pun duduk antara Flip dan Fold, saya rasakan yang orang lebih cenderung untuk dapatkan Find N berbanding Flip3 sekiranya mereka ada bajet terhad tapi inginkan pengalaman telefon boleh lipat lebih baik.
Cumanya, saya dimaklumkan yang ia tidak akan tiba ke Malaysia dalam masa terdekat ini.