Shell hari ini mengumumkan bermulanya operasi Stesen Pengecasan Prestasi Tinggi (High Performance Charging, HPC) mereka di Malaysia. Ia dibangunkan dengan kerjasama pengeluar kenderaan mewah, Porsche. Perkara ini merupakan hasil daripada perancangan mereka yang telah diumum pada bulan Mac tahun lepas, untuk menyediakan jaringan HPC merentasi Asia Tenggara, dari Singapura melalui Malaysia sehingga ke Thailand.
Sebanyak 6 stesen Shell akan menempatkan 12 pusat HPC di sepanjang lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) iaitu:
- Hentian Sebelah Tangkak, Johor (arah Selatan)
- Kawasan Rehat Pagoh, Johor (arah Selatan, AKAN DIBUKA)
- R&R Seremban, Negeri Sembilan (arah Selatan, AKAN DIBUKA)
- R&R Seremban, Negeri Sembilan (arah Utara, AKAN DIBUKA)
- R&R RTC Simpang Pulai, Perak (arah Utara, AKAN DIBUKA)
- R&R RSA Tapah, Perak (arah Selatan, AKAN DIBUKA)
Setiap stesen minyak Shell ini menempatkan dua tempat pengecasan, membolehkan pengecasan arus terus (DC) 180kW bagi mengecas kenderaan elektrik sehingga 180 kW, atau dua buah kenderaan sekaligus pada kadar 90kW setiap satu. Ia boleh mengecas bateri di kenderaan elektrik sehingga 80% sepantas 30 minit.
Shell menawarkan penggunaan HPC menerusi pembayaran terus atau menerusi keahlian tahunan. Ia dibuat melalui aplikasi ParkEasy, yang turut menyediakan khidmat pengecasan kenderaan elektrik di beberapa tempat di Lembah Klang.
Untuk pembayaran terus tanpa keahlian tahunan, kadar yang dikenakan adalah:
- Caj pengesahan RM4
- 25 minit pertama: RM20 setiap 5 minit
- 5 minit seterusnya: RM20
Bagi keahlian Emas, harga yuran tahunan ialah RM835 dan kadar yang dikenakan untuk 10 jam pertama adalah:
- Caj pengesahan RM4
- 25 minit pertama: RM12 setiap 5 minit
- 5 minit seterusnya: RM5
- Tambah nilai kuota seterusnya adalah RM80/jam
Khas untuk pembeli Porsche Taycan di Malaysia, mereka akan menerima keahlian Platinum percuma selama 3 tahun yang mengenakan kadar berikut bagi 12 jam pertama :
- Caj pengesahan RM4
- 25 minit pertama: RM10 setiap 5 minit
- 5 minit seterusnya: RM5
- Tambah nilai kuota seterusnya adalah RM60/jam
Shell turut menyediakan tawaran pembelian makanan terpilih deli2go pada harga RM1 bagi setiap pembelian Costa Coffee, setiap kali menggunakan khidmat HPC ini. Ahli Platinum Porsche Taycan juga akan menerima kopi dan tisu basah antibakteria Shell, menggunakan baucar yang disediakan kepada mereka.
[Sumber: Shell]