Setakat gambar diletakkan di Instagram rasmi Apple, sudah ada beberapa rakyat Malaysia disenaraikan di sana. Tahun lepas, gambar Badrul Akram telah dipilih Apple. Awal tahun ini, karya milik Ling Hou Wah pula tersenarai. Tetapi anda boleh menjadi lebih hebat daripada itu dengan menyertai peraduan yang diadakan oleh Apple sekarang.
Apple Singapura kini mengadakan pertandingan fotografi makro menggunakan iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max. Ia dijalankan dari 25 Januari sehingga 14 Februari 2022. Sebanyak 10 pemenang akan dipilih oleh barisan juri profesional yang pakar dalam bidang fotografi seperti jurufoto senior National Geographic Explorer, Anand Varma, pemenang anugerah YouTube 2019 dan 2020, Peter McKinnon dan pemenang pelbagai anugerah gambar menggunakan iPhone, Paddy Chao.
Pertandingan ini diadkaan untuk meraikan kedatangan mod makro di iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max, yang mampu menangkap gambar sedekat 2 centimeter dengan jelas dan tajam. Tidak dinyatakan dengan jelas apakah hadiah yang akan diterima pemenang, tetapi gambar tersebut akan diraikan di pelbagai platform Apple termasuk galeri gambar Apple Newsroom, Apple Singapura, Instagram Apple dan lain-lain saluran rasmi Apple seperti kempen digital Apple, Apple Store dan papan iklan Apple.
Bunyi macam tolong Apple cari bahan iklan, tapi pastinya ada saguhati berbentuk tunai akan diberikan kepada pemenang. Cuma, ia tidak pernah disebut oleh mereka yang gambar mereka pernah dimuat naik ke Instagram Apple. Mungkin sudah menandatangani perjanjian yang tidak membenarkan ia diberitahu kepada orang lain.
Cara untuk menyertai
Pertandingan ini hanya membenarkan penyertaan dengan menghantar gambar yang diambil menggunakan iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max sahaja. Jika anda tiada telefon ini, boleh cuba pinjam daripada kawan atau keluarga yang memilikinya.
Seterusnya, muat naik gambar tersebut di Instagram, Twitter atau weibo, bersama tanda pagar #ShotoniPhone dan #iPhonemacrochallenge. Sebut juga model telefon yang digunakan. Gambar boleh dimuat naik terus daripada kamera, atau diedit menggunakan aplikasi Photos atau aplikasi pihak ketiga.
Jika tidak mahu dimuat naik ke media sosial, boleh juga menghantar penyertaan menerusi emel ke [email protected], dan namakan fail gambar tersebut menggunakan format ini: ‘firstname_lastname_macro_iPhonemodel.’ Tajuk emel pula mestilah tertulis: ‘Shot on iPhone Macro Challenge Submission.’. Pastikan gambar dalam resolusi tertinggi.
Seperkara lagi, penyertaan hanya terbuka kepada yang berusia 18-tahun ke atas. Pekerja Apple dan ahli keluarga terdekat, tidak dibenarkan menyertai.
Jika berjaya, pemenang akan dimaklumkan pada atau sekitar 12 April 2022.
Tunggu apa lagi, tangkap gambar makro sekarang guna iPhone 13 Pro dan iphone 13 Pro Max sebanyak mungkin, dan hantar semuanya. Mungkin ada yang menarik perhatian juri nanti.
Anda boleh dapatkan idea untuk mengambil gambar makro menggunakan iPhone 13, daripada video tiktok kami di sini.
[Sumber: Apple]