Wordle, permainan teka kata yang tular dan digemari ramai pengguna internet, telah dibeli oleh syarikat media, New York Times (NYT). Ini menambah lagi koleksi permainan perkataan yang telah dimiliki NYT seperti The Crossword, The Mini dan Spelling Bee.
Pembangun Wordle, Josh Wardle, seorang jurutera perisian telah melancarkan Wordle pada Oktober 2021. Dilaporkan, jutaan pengguna di seluruh dunia memainkan Wordle setiap hari.
Dalam kenyataan rasminya, Josh menyatakan agak sukar untuk mengembangkan Wordle kerana dia hanya seorang diri menguruskannya. Langkah ini akan membolehkan Wordle terus berkembang untuk memberi pengalaman terbaik.
NYT pula menyatakan, mereka telah membeli Wordle pada nilaian 7-angka di sebelah yang rendah. Paling penting, ia akan terus diberikan percuma kepada pemain sedia ada dan baru, buat masa sekarang. NYT juga mengatakan, mereka masih belum ada perancangan khusus untuk Wordle, sekadar mahu memberi nilai tambah kepada pelanggan sedia ada.
Nampaknya, Wordle akan boleh terus dimainkan secara percuma, tetapi mungkin akan dikenakan bayaran di masa akan datang. Salah satunya mungkin dengan melanggan permainan perkataan NYT, atau menambah iklan di dalam permainan. Jika tidak membuat keuntungan, mana mungkin NYT mahu membelinya pada harga jutaan USD.
Sementara masih percuma, nikmatilah keseronokan teka perkataan Wordle buat masa ini. Anda juga boleh bermain teka perkataan ala-Wordle edisi Bahasa Melayu, iaitu Katapat. Memandangkan Wordle sudah dibeli syarikat gergasi, mungkin Katapat akan terkena tempias, tidak lagi boleh meniru Wordle sepenuhnya untuk edisi BM.