RFID telah mula digunakan di semua lebuhraya di Semenanjung Malaysia, termasuk lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). Pelaksanaan RFID adalah langkah pertama Malaysia menuju ke arah Sistem Aliran Bebas Berbilang Laluan (MLFF) yang disasarkan pada tahun 2025.
Penggunaan RFID di lebuhraya PLUS bermula 15 Januari lepas berhadapan banyak masalah, antaranya diakibatkan oleh pengguna tanpa RFID. PLUS telah membuka sekurang-kurangnya satu laluan RFID di setiap plaza tol di Lebuhraya Utara-Selatan. Bila laluan RFID tersangkut, ia menyebabkan pengguna RFID lain tiada pilihan selain menunggu laluan tersebut boleh digunakan semula.
Salah satu contoh muncul dalam satu video yang dimuat naik ke media sosial. Seorang pengguna yang dilihat menggunakan SmartTAG, menggunakan laluan RFID dan tersangkut di situ.
Dalam video yang dimuat naik oleh Kevin Boey di Facebook, perkara tersebut berlaku pada 1 Februari 2022 di Plaza Tol Damansara masuk ke lebuhraya NKVE. Rakaman video belakang kereta itu menunjukkan, pemandu kereta Honda City memegang SmartTAG semasa memasuki laluan RFID dan dia terhenti kerana palang tidak naik. Ini kerana kereta itu tidak memiliki RFID. Tonton video penuh di sini.
Dari gambar di atas, dapat dilihat laluan RFID terletak di hujung kanan. Di sebelahnya pula adalah laluan SmartTAG. Sebelum ini, pengguna SmartTAG yang tersangkut di laluannya, masih boleh menggunakan kad Touch n Go di dalam SmartTAG untuk meneruskan perjalanan. Tetapi berlainan dengan RFID, kerana ia tiada hubungan dengan kad Touch n Go dan menggunakan sistem pembayaran yang berbeza.
Bagaimanapun, ada laluan yang membenarkan pengguna kedua-dua SmartTAG dan RFID iaitu laluan hibrid. Terdapat beberapa plaza tol yang menyediakan laluan hibrid SmartTAG + RFID, dan ia boleh dilihat menerusi papan tanda di atas laluan.
Dalam video tadi, dapat dilihat laluan paling kanan masih belum dicat RFID di atas jalan. Bagi pengguna yang sebelum ini sudah biasa dengan laluan SmartTAG paling kanan dan tidak perasan ia telah diubah kepada RFID, pasti yakin melaluinya tanpa menyemak cat di jalan atau papan tanda di atas laluan, seterusnya tersangkut di plaza tol.
Masalah lebih besar adalah di lebuhraya sistem tertutup, seperti Lebuhraya Utara-Selatan di mana kadar pembayaran ditentukan mengikut jarak. Dalam lebuhraya sistem tertutup, keluar dan masuk perlu menggunakan cara yang sama. Jika masuk plaza tol dengan RFID, maka perlu keluar dengan RFID juga. Masuk dengan Touch n Go atau SmartTAG, perlu keluar dengan Touch n Go atau SmartTAG. Jika tidak, pengguna akan dikenakan penalti iaitu membayar kadar tertinggi untuk lebuhraya tersebut.
Untuk mengelakkan caj berganda pula, terutama sekali di laluan hibrid, pengguna yang memiliki RFID dinasihatkan untuk tidak lagi meninggalkan SmartTAG di cermin hadapan kenderaan. Ini supaya apabila lalu di lorong hibrid, ia tidak akan mengimbas kedua-dua RFID dan SmartTAG dan mengenakan caj berganda.
Ingat, jika anda berhadapan masalah dengan RFID di plaza tol, anda boleh mendapatkan bantuan kakitangan lebuhraya untuk mengimbasnya secara manual menggunakan pengimbas mudahalih. PLUS juga ada menyatakan bahawa pengguna yang berhadapan masalah pengesanan RFID, boleh mendapatkan pemeriksaan percuma di pusat pemasangan RFID.
Bagi melancarkan perjalanan menggunakan RFID, pengguna boleh menetapkan tambah nilai secara automatik di Touch n Go eWallet. Jika anda belum memasang RFID di kenderaan, anda boleh mendapatkan diskaun RM5 dan penghantaran percuma menerusi pembelian kit pasang sendiri RFID di aplikasi Touch n Go eWallet. Kalau anda mahu pakar membantu anda memasang tag RFID, anda boleh membelinya di mana-mana cawangan berdaftar pusat pemasangan RFID.