Ada dalam kalangan pelajar sekolah yang perlu gunakan laptop, untuk mencari nota dan mengikuti kelas tambahan secara dalam talian. Oleh itu, pasti ada rasa bimbang yang timbul dalam kalangan ibu bapa tentang aktiviti yang dilakukan oleh anak mereka sepanjang menggunakan peranti.
Menariknya, Apple ada ciri kawalan ibu bapa untuk komputer Mac. Ia boleh lindungi anak-anak semasa mereka menggunakan Internet, aplikasi dan bermain permainan. Jika anak anda pengguna Mac, berikut merupakan perkara yang anda perlu tetapkan pada peranti itu agar mereka dapat gunakannya dengan selamat di bawah pemantauan anda.
Namun, anda harus tahu sistem operasi MacBook kerana, ini merupakan cara untuk menetapkan kawalan ibu bapa bagi Mac dengan sistem operasi macOS Big Sur ke atas. Untuk ketahui sistem operasi, berikut merupakan caranya:
- Tekan simbol Apple di atas kanan
- Pilih About This Mac
Melalui versi ini, ibu bapa boleh kawal MacBook anak dengan mudah seperti mengurus masa skrin, menyekat laman web dan banyak lagi.
1. Aktifkan laporan masa skrin
Mengawal masa skrin sangat penting untuk memastikan anak-anak tidak terlampau leka dan menggunakan masa dengan komputer sebaiknya. Dengan tetapan ini juga, mereka boleh luangkan lebih masa secara fizikal dengan orang lain, terutamanya bersama keluarga dan rakan. Berikut merupakan cara untuk aktifkan masa skrin di Mac:
- Klik logo Apple dan pilih System Preferences
- Klik Screen Time
- Klik Option di sudut kiri bawah
- Tekan Turn On
Selepas hidupkannya, anda boleh lihat laporan terperinci tentang aktiviti masa skrin anak anda. Ia boleh diakses menerusi App Usage. Dari situ anda boleh akses jumlah jam anak anda luangkan masa di Mac pada hari-hari tertentu. Anda juga boleh lihat perincian aplikasi yang digunakan serta tempoh masa yang diluangkan kepada sesebuah aplikasi itu.
2. Hadkan penggunaan
Terdapat pelbagai cara untuk anda menguruskan masa skrin dan aktiviti mereka ketika sedang menggunakan Mac. Ia termasuklah masa untuk berhenti gunakan Mac (Downtime), had aplikasi, komunikasi, aplikasi yang sentiasa dibenarkan, serta kandungan dan privasi.
a. Cara tetapkan masa berhenti (Downtime)
Ketika waktu Downtime, hanya aplikasi yang anda pilih dan panggilan telefon sahaja boleh digunakan. Jadi, bila anda tetapkannya, anak anda tidaklah menggunakan Mac sepanjang hari dan tidur lewat. Berikut merupakan cara untuk tetapkannya:
- Klik logo Apple dan pilih System Preferences
- Klik Screen Time
- Pada bahagian kiri, pilih Downtime
- Anda boleh tetapkan tempoh untuk semua aplikasi tidak aktif. Contohnya dari 10 malam sehingga 7 pagi. Maksudnya, anak anda hanya boleh gunakan aplikasi di Mac bermula jam 7 pagi. Selain itu, anda juga boleh buat jadual waktu Downtime berbeza untuk hari yang lain.
Downtime pada Mac ini turut aktif pada peranti yang menggunakan iCloud sama dengannya. Oleh itu, jika anak anda ada iPhone dan iCloudnya sama, maka Downtime turut aktif di situ.
b. Cara tetapkan had aplikasi
Tetapan ini membolehkan anda meletakkan had masa untuk menggunakan sesebuah aplikasi pada Mac. Contohnya, untuk permainan Roblox, anda tetapkan 1 jam. Maka, anak anda tidak boleh bermain permainan Roblox lebih dari waktu yang sudah anda tetapkan. Cara untuk aktifkannya seperti di bawah:
- Klik logo Apple dan pilih System Preferences
- Klik Screen Time
- Pada bahagian kiri, pilih App Limits
- Tekan simbol + di bawah kotak Had / Jumlah Masa.
- Tetapkan had masa yang boleh digunakan untuk sesebuah aplikasi. Ia boleh ditetapkan terus untuk setiap hari dan boleh juga tetapkannya untuk hari berbeza.
- Setelah selesai, tekan Done
c. Cara tetapkan komunikasi
Melalui tetapan ini, anda boleh pilih kategori kenalan yang boleh anak hubungi pada waktu skrin dan ketika downtime. Kenalan adalah merangkumi dari Phone, Message, FaceTime dan iCloud. Dengan tetapan ini, anda tak perlu lagi risau jika anak anda lambat tidur akibat meluangkan masa berborak dengan rakannya. Cara tetapkan komunikasi adalah seperti berikut:
- Buka System Preferences
- Pilih Screen time
- Pada bahagian kiri, pilih Communication
- Pilih dengan siapa anak anda dibenarkan untuk berkomunikasi semasa Downtime dan waktu skrin. Contohnya, ketika waktu skrin dia dibenarkan untuk berhubung dengan kenalan sahaja. Manakala pada waktu Downtime, dia hanya dibenarkan untuk hubungi kenalan tertentu sahaja seperti ibu dan ayahnya.
d. Cara kawal aplikasi
Melalui tetapan ini, anda boleh pilih aplikasi yang sentiasa boleh diakses oleh anak anda, tanpa mengira tetapan lain yang telah ditetapkan. Contohnya, anda benarkan mereka guna aplikasi Messages, Phone dan FaceTime sewaktu downtime. Jadi mereka senang untuk hubungi anda jika ada masalah sepanjang tempoh downtime itu. Cara untuk aktifkannya ialah:
- Buka System Preferences
- Pilih Screen time
- Pilih Always Allowed
- Pilih aplikasi yang anda benarkan pada bahagian Allowe App di bahagian kanan bawah
e. Cara urus kandungan dan privasi
Di sini, anda boleh hadkan 4 perkara melibatkan kandungan dan privasi di Mac.
Pertama ialah Content. Melaluinya anda boleh tetapkan kandungan Web yang boleh mereka akses di Internet dan perkara yang mereka boleh lakukan di Game Centre.
Kedua ialah Stores. Di sini anda boleh tetapkan kandungan aplikasi yang dibenarkan untuk anak anda, contohnya aplikasi untuk usia 12 tahun sahaja anda benarkan. Boleh juga aktifkan atau matikan kebenaran muat turun dan padam aplikasi di peranti iOS.
Ketiga ialah Apps. Anda boleh tetapkan sama ada mereka boleh gunakan ciri Camera, Books Store dan Siri & Dictation atau tidak. Boleh juga tetapkan aplikasi dan ciri yang boleh digunakan pada peranti iOS atau iPadOS mereka.
Keempat ialah Other. Di sini anda boleh menyekat perubahan untuk beberapa perkara di iOS. Kod laluan diperlukan untuk lakukan sebarang perubahan.
3. Letakkan Kod laluan untuk masa skrin
Jika anda ingin mengunci semua tetapan masa skrin ini supaya anak anda tidak boleh mengubahnya, anda perlu menetapkan kod laluan (passcode). Caranya seperti di bawah:
- Klik logo Apple dan pilih System Preferences
- Klik Screen Time
- Pilih Option di sudut kiri bawah
- Klik Use Screen Time Passcode, kemudian masukkan kod laluan yang anda mahu.
Dengan lakukan tetapan ini, sudah tentu aktiviti di Mac dan kandungan Internet anak anda akan terkawal. Maka, anda tak perlu risau jika tidak dapat berada di sisi mereka setiap kali mereka menggunakan Mac.
[Sumber: Bark]