PROMOSI: Dapatkan pengecas Samsung Super Fast Charging 45W bernilai RM199 secara percuma, bersama e-baucar RM800, Silicon Cover with Strap dan Lucky Box, serta Camera Filter Mount (S22/S22+) atau Galaxy X Lamy Safari Twin Pen (S22 Ultra), apabila membeli mana-mana siri Galaxy S22 dengan kod promosi: GS22VIPSC di Stor Online Samsung. Tawaran sah sehingga 31 Mac 2022.
Dalam acara Galaxy Unpacked yang bersiaran malam tadi, Samsung telah melancarkan barisan telefon pintar siri Galaxy S22 dan tablet siri Galaxy Tab S8. Bagi telefon pintar kelas flagship baru Samsung ini, ia mengekalkan gaya yang hampir serupa dengan siri Galaxy S21 lepas iaitu Galaxy S22 dan Galaxy S22 hampir serupa dengan beza saiz sahaja, manakala Galaxy S22 Ultra jauh lebih baik dengan skrin dan kamera lebih hebat, serta tambahan S Pen!
Siri Galaxy S22 kali ini menampilkan kuasa pemproses terbaru, dengan pilihan antara cip Samsung Exynos 2200 dan cip Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1. Kedua-dua cip ini dibangunkan menggunakan proses 4nm, antara yang pertama seumpanya di pasaran kini.
Menariknya, Samsung Malaysia mengumumkan bahawa semua siri Galaxy S22 yang dijual di Malaysia kelak, akan dikuasakan cip Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1, bukannya Exynos 2200. Ini pastinya menggembirakan peminat di Malaysia yang kebanyakannya lebih gemarkan cip keluaran Qualcomm berbanding cip yang dihasilkan Samsung sendiri. Kepada peminat peranti, pastinya mengetahui bahawa pasaran Malaysia sebelum ini hanya mendapat peranti Galaxy S dengan cip Exynos, bukannya Snapdragon.
Samsung turut meningkatkan komitmen mereka terhadap kelestarian bumi dalam kempen Galaxy for the Planet, apabila mengumumkan penggunaan plastik daripada jaring nelayan terbuang di lautan, serta kertas kitar semula. Ia digunakan pada komponen telefon seperti butang kuasa, butang kawalan bunyi dan modul pembesar suara.
Perbezaan di Galaxy S22
Seperti biasa, nama yang biasa untuk Galaxy S22 merujuk kepada model paling kecil. Ia memiliki skrin Dynamic AMOLED 2X sebesar 6.1-inci, lebih kecil berbanding Galaxy S21. Sedikit sebanyak, ia lebih menarik untuk mereka yang mahukan peranti berprestasi tinggi dalam badan yang kecil.
Skrin ini masih mengekalkan resolusi HD Penuh, dengan kadar penyegaran 120Hz dinamik yang boleh berubah mengikut keadaan dari serendah 10Hz sehingga 120Hz. Ia ada kecerahan puncak 1,300 nits dan skrin ini juga menjadi perumah untuk pengimbas capjari Ultrasonik.
Lapisan di luar skrin pula menggunakan kaca Corning Gorilla Glass Victus+, versi yang lebih tahan lasak daripada kaca Victus yang ada di siri Galaxy S21. Bingkai telefon ini diperbuat daripada aluminium dan ia menerima sentuhan kemasan matte di belakang.
Bateri Galaxy S22 pula dilihat sangat kecil untuk zaman sekarang, hanya 3,700mAh dan ia menyokong pengecasan pantas 25W berwayar, pengecas wayarles 15W serta perkongsian kuasa mengecas Wireless PowerShare. Sama seperti model sebelum ini, Samsung tidak lagi memberi kepala pengecas di dalam kotak. Ia dijual berasingan.
Walaupun dengan cip terbaru yang menyokong 5G dan Bluetooth 5.2, Galaxy S22 datang dengan piawaian WiFi 6 sahaja.
Perbezaan di Galaxy S22+
Skrin di Galaxy S22+ adalah jenis yang sama, Dynamic AMOLED 2X HD Penuh 120Hz tetapi lebih besar dengan saiz sebesar 6.6-inci dan kecerahan puncak 1,750 nits. Ia turut dilapisi kaca Corning Gorilla Glass Victus+ dan ada pengimbas capjari ultrasonik di dalam skrin.
Bateri lebih besar dimuatkan di dalam Galaxy S22+, berkapasiti 4,500mAh dan ia menyokong pengecasan berwayar lebih pantas iaitu 45W. Pengecasan wayarles masih sama 15W dan kepala pengecas juga tidak diberikan di dalam kotak, perlu dibeli berasingan.
Satu lagi kelebihan Galaxy S22+ adalah ia menyokong WiFi 6E yang lebih baru dan baik.
Persamaan Galaxy S22 dan S22+
Kedua-dua peranti ini datang dengan spesifikasi kamera yang sama. Di belakang, ia ada modul kamera menegak yang menjadi perumah kepada kamera utama 50MP F1.8 dengan dwi-piksel Autofokus dan OIS, kamera ultra lebar 12MP F2.2 bersudut pandang 120-darjah, serta kamera telefoto 10MP F2.4 OIS yang memberikan 3x zum optikal.
Kamera hadapan yang terletak di dalam lubang di dahi skrin, menggunakan sensor 10MP F2.2. Sayangnya Samsung tidak menggunakan kamera hadapan seperti di Galaxy Z Fold 3, iaitu kamera yang bersembunyi di sebalik skrin.
Kekalisan air dan debu di Galaxy S22 dan S22+ masih kekal di tahap IP68, bermakna ia boleh masuk air bersih sehingga 1.5 meter sedalam selama 30 minit.
Terdapat empat warna ditawarkan untuk pilihan iaitu putih, merah jambu, hitam dan hijau.