Di samping melancarkan telefon pintar Galaxy S22, Galaxy S22+ dan Galaxy S22 Ultra, Samsung turut mengumumkan kedatangan tablet prestasi tinggi mereka iaitu siri Galaxy Tab S8. Selain perkakas berkuasa tinggi, ia juga lengkap dengan fungsi-fungsi premium untuk menjadi pengganti kepada laptop.
Terdapat tiga model diperkenal dalam siri ini iaitu Galaxy Tab S8, Galaxy Tab S8+ dan Galaxy Tab S8 Ultra. Walaupun susunaan namanya hampir serupa dengan siri Galaxy S22, semua model tablet ini sangat berbeza antara satu sama lain.
Persamaan ketiga-tiga tablet ini adalah kuasa pemprosesnya. Bagi pasaran Malaysia, siri Galaxy Tab S8 akan diperkasa cip 4nm keluaran Qualcomm, iaitu Snapdragon 8 Gen 1. Ia langkah yang sama digunakan seperti di siri Galaxy S22. Bagaimanapun, hanya versi WiFi akan dijual di Malaysia, tiada sokongan data mudah alih LTE atau 5G.
Samsung juga melengkapi siri Galaxy Tab S8 dengan sistem operasi terbaru One UI 4.1 berasaskan Android 12. Di samping itu, tablet ini diumumkan akan menerima kemaskini OS Android sehingga 4 kali dan kemaskini keselamatan selama 5 tahun.
Antara ciri baharu yang diperkenal untuk tablet ini adalah sokongan skrin kedua untuk aplikasi terpilih. Samsung bekerjasama dengan applikasi Clip Studio Paint, membenarkan sambungan ke peranti terpilih Samsung untuk menjadi skrin kedua semasa menyunting gambar di tablet.
Semua Galaxy Tab S8 turut diberikan S Pen baharu sedia ada di dalam kotak. S Pen ini memiliki pendaman ultra rendah 2.8ms, memberikan pengalaman penggunaan yang lancar dan semulajadi. Ia boleh dilekat secara magnetik di atas skrin untuk disimpan dan dicapai pantas.
Galaxy Tab S8
Walaupun paling kecil, Tab S8 memiliki paparan sebesar 11-inci. Tetapi ia dari jenis TFT LCD, dengan resolusi 2560×1600 (WQXGA) dan kadar penyegaran sehingga 120Hz. Pengimbas capjarinya terletak di sisi, digabungkan dengan butang kuasa.
RAM sebanyak 8GB disertakan di dalam, bersama storan 128GB. Kad mikroSD sehingga 1TB diterima jika mahu meluaskan lagi ruang storan. Bateri di dalamnya berkapasiti 8,000mAh dan sedia menerima kuasa mengecas sehingga 45W melalui USB-C.
Terdapat dua kamera dipasang di belakang. Pertama kamera utama 13MP dan kedua kamera ultra lebar 6MP. LED Flash juga ada di belakang. Kamera hadapannya 12MP bersudut ultra lebar, terletak di bingkai di atas skrin.
Sistem bunyi dihasilkan menerusi empat pembesar suara stereo di sisi, ditala oleh pakar audio AKG. Ia juga menyokong teknologi bunyi sekeliling Dolby Atmos. Bagi menangkap suara dengan jelas sewaktu persidangan video, terdapat 3 mikrofon disediakan dengan teknologi penyaring hingar untuk suara kedengaran jelas.
Galaxy Tab S8+
Tablet ini datang dengan skrin lebih baik dan besar, paparan Super AMOLED 12.4-inci dengan resolusi 2800×1752 (WQXGA+) dan kadar penyegaran sehingga 120Hz. Ini juga membolehkan ia memiliki pengimbas capjari di dalam skrin.
RAM juga 8GB, tetapi ia ada storan lebih besar 256GB dan menerima kad mikroSD sehingga 1TB. Bateri pula berkapasiti 10,09mAh dan kuasa mengecas 45W.
Dwi-kamera belakangnya gandingan kamera utama 13MP dan kamera ultra lebar 6MP. Di bingkai atas skrinnya, terletak kamera hadapan 12MP ultra lebar.
Galaxy Tab S8 Ultra
Tablet terbesar dan terbaik ini dilengkapi paparan Super AMOLED 14.6-inci, dengan resolusi 2960×1848 (WQXGA+) serta kadar penyegaran sehingga 120Hz. Tetapi ia ada takuk besar seperti iPhone 13, kerana ada dua kamera hadapan. Bateri juga lebih besar, 11,200mAh dengan kuasa pengecas 45W.
Kamera belakang yang sama digunakan, gabungan kamera utama 13MP dan kamera ultra lebar 6MP. Tetapi kamera hadapannya ada dua iaitu kamera utama 12MP dan kamera ultra lebar 12MP. Kamera hadapan ini terletak di takuk besar di atas skrin.
Pilihan warna
Galay Tab S8 dan Tab S8+ disediakan dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, perak dan merah jambu. Bagi Galaxy Tab S8 Ultra, hanya ada satu warna dihasilkan iaitu hitam.