Realme telah melancarkan barisan peranti baru mereka, siri Realme 9 Pro di pentas antarabangsa. Ia dikategorikan sebagai peranti kelas pertengahan atasan, lengkap dengan sokongan 5G dan kamera berprestasi tinggi.
Terdapat dua model dalam siri ini diperkenalkan iaitu Realme 9 Pro dan Realme 9 Pro+. Kali ini, kedua-dua model berbeza dalam banyak perkara termasuk cip pemproses, skrin, kamera, bateri dan kuasa pengecas.
Satu tarikan unik untuk siri Realme 9 Pro adalah warna badan yang boleh bertukar warna, tetapi hanya untuk warna biru (Sunrise Blue) sahaja. Warna biru ini boleh bertukar ke warna merah apabila terdedah kepada cahaya matahari. Ini bukanlah peranti yang pertama ada ciri ini kerana Vivo telah membawakannya pada model Vivo V23.
Walaupun pelancaran ini dibuat secara global, jualannya hanya diumumkan untuk pasaran India buat masa ini, bermula pada 21 Februari 2022. Bagaimanapun, harganya untuk pasaran antarabangsa telah dibentangkan iaitu:
- Realme 9 Pro (RAM 6GB + Storan 128GB) – USD 319 (~RM1,334)
- Realme 9 Pro (RAM 8GB + Storan 128GB) – USD 349 (~RM1,459)
- Realme 9 Pro+ (RAM 6GB + Storan 128GB) – USD 379 (~RM1,585)
- Realme 9 Pro+ (RAM 8GB + Storan 128GB) – USD 399 (~RM1,669)
- Realme 9 Pro+ (RAM 8GB + Storan 256GB) – USD 429 (~RM1,794)
Buat masa ini, masih tiada khabar mengenai ketibaannya di Malaysia. Tetapi kami yakin ia akan sampai ke Malaysia tidak lama lagi.
Realme 9 Pro
Peranti ini dikuasakan oleh cip Snapdragon 695 6nm 5G, sama seperti di Xiaomi Redmi Note 11 5G. RAM disediakan sehingga 8GB dan ia menyokong teknologi RAM maya, membolehkan penambahan RAM sehingga 5GB, menjadikan jumlah RAM kepada 13GB. Storan pula hanya 128GB jenis UFS2.2 tetapi kad mikroSD diterima di dalam slot hibrid, bersama dua sim nano 5G.
Ia memiliki skrin LCD 6.6-inci HD Penuh, dengan kadar penyegaran dinamik 120Hz. Bateri di dalamnya berkapasiti 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 33W Dart Charge. Kepala pengecas disertakan di dalam kotak.
Terdapat tiga kamera di belakangnya dengan kamera utama dilabel “Nightscape Camera” 64MP F1.79. Ia bergandingan dengan kamera ultra lebar 8MP F2.2 dan kamera makro 2MP F2.4. Untuk kamera hadapan, ia menggunakan sensor 16MP F2.05 yang terletak di dalam lubang di sudut atas skrin.
Terdapat tiga warna disediakan untuk siri Realme 9 Pro. Selain warna biru yang mampu berubah warna ke merah apabila terkena cahaya matahari, dua lagi warna lain iaitu hijau dan hitam tidak boleh bertukar warna.
Realme 9 Pro+
Peranti lebih hebat ini menggunakan kuasa cip Mediatek Dimensity 920 6nm 5G. Ia datang bersama RAM sehingga 8GB dengan sokongan RAM maya sehingga 5GB. Storan pula disediakan antara 128GB dan 256GB jenis UFS 2.2, tiada ruang untuk kad mikroSD.
Skrin lebih baik turut digunakan di Realme 9 Pro+. Ia hadir dengan skrin Super AMOLED 6.4-inci HD Penuh, dan kadar penyegaran 90Hz. Kaca Corning Gorilla Glass 5 turut dipasang di atas skrin. Pengimbas capjari ada di dalam skrin dan ia juga mampu mengimbas denyutan nadi apabila jari diletakkan di atas skrin.
Kapasiti bateri di Realme 9 Pro+ kecil sedikit, hanya 4,500mAh tetapi ia menyokong pengecasan lebih pantas iaitu 60W SuperDart Charge. Kepala pengecas tersedia di dalam kotak. Ia juga ada pembesar suara stereo dan masih mengekalkan jek audio 3.5mm.
Kehebatan utama yang cuba ditonjolkan pada Realme 9 Pro+ adalah kameranya yang dikatakan kelas flagship. Ini kerama ia ada kamera utama 50MP F1.8 yang menggunakan sensor Sony IMX766 dan ada penstabil imej optikal (OIS). Sebelum ini, Realme pernah membandingkan kualiti gambar Realme 9 Pro+ dengan peranti flagship lain iaitu Pixel 6, Xiaomi 12 dan S21 Ultra. Selain itu, dua lagi kamera padanya adalah kamera ultra lebar 8MP F2.2 dan kamera makro 2MP F2.4. Kamera hadapan di sudut atas skrin adalah kamera 16MP F2.4.
Realme UI 3.0 berasaskan Android 12 menjadi sistem operasi Realme 9 Pro+ dan dijanjikan kemaskini OS sebanyak dua kali. Terdapat tiga warna boleh dipilih untuk Realme 9 Pro+ iaitu biru (boleh bertukar warna ke merah), hijau dan hitam.