Baru 7 bulan Redmi 5 dilancarkan, kini Xiaomi telah pun memperkenalkan generasi ke-6 bagi siri Redmi. 2 model diperkenalkan di China iaitu Redmi 6 yang murah dan Redmi 6A yang lebih murah.
Kedua-dua model Redmi 6 ini tampil dengan saiz yang sama, memiliki paparan 18:9 FullView berukuran 5.45-inci dengan resolusi HD+ 1440×720. Ini lebih kecil dari Redmi 5 yang menggunakan paparan 5.7-inci, jadi Redmi 6 ini bagus untuk mereka yang mahu skrin kecil.
Bagi kuasa dalaman, Redmi 6 kali ini menggunakan cip Mediatek P22 8-teras 12nm. RAM pula antara 3GB dan 4GB manakala storan 32GB atau 64GB. Storan boleh ditambah menggunakan kad mikroSD yang dimuatkan ke dalam slot kad hibrid.
Kamera Redmi 6 diperhebat dengan pengguna dwi-lensa di belakang, gandingan 12MP F2.2 dan 5MP. Di hadapan pula menggunakan sensor 5MP F2.2 yang dikuasakan teknologi kecantikan AI.
Bateri 3,000mAh dimuatkan di dalam dan ia dicas melalui port mikroUSB. Terdapat juga pengimbas capjari di belakang dan ia juga menyokong teknologi pengecaman wajah.
Redmi 6A adalah Redmi 6 yang direndahkan lagi spesifikasinya. Ia memiliki badan dan saiz skrin yang sama, tetapi dibuang pengimbas capjari. Bagaimanapun ia masih menyokong teknologi pengecaman wajah untuk membuka kunci skrin.
Kuasa pemproses Redmi 6A juga berbeza kerana ia menggunakan cip Mediatek Helio A22 4-teras 12nm. RAM dan storannya juga lebih kecil, hadir dengan 2GB RAM dan 16GB storan sahaja tetapi boleh diperluaskan melalui kad mikroSD.
Kameranya pula hanya satu lensa di belakang, menggunakan sensor 13MP. Kamera hadapannya pula 5MP. Bateri yang sama besar terdapat pada Redmi 6A, sebesar 3,000mAh dan dicas melalui port mikroUSB.
Redmi 6 dan Redmi 6A telah dijual di China dengan harga seperti di bawah. Ia dijangka keluar ke pasaran antarabangsa tidak lama kemudian. Tanda harga di Malaysia kelak mungkin tidak lari jauh dari tanda harga di China.
- Redmi 6 3GB+32GB – RMB799 (~RM498)
- Redmi 6 4GB+64GB – RMB999 (~RM623)
- Redmi 6A 2GB+16GB – RMB599 (~RM373)