ViewQwest, salah satu penyedia perkhidmatan jalur lebar tetap di Malaysia telah melancarkan pelan perniagaan berkelajuan 1Gbps. Menurut ViewQwest, mereka adalah penyedia pertama pelan 1Gbps untuk perniagaan di Malaysia dan ia boleh dilanggan dari serendah RM338/bulan.
Pelan 1Gbps ViewQwest ini ditawarkan bersama pilihan kontrak selama 24-bulan atau 36-bulan, dan ia datang bersama router percuma Netgear Nighthawk MK62 Mesh WiFi 6. Bagi kontrak 36-bulan, pengguna membayar RM338/bulan untuk 12 bulan pertama dan RM378/bulan pada bulan berikutnya. Untuk kontrak 24-bulan pula, ia berharga RM348/bulan untuk 12 bulan pertama dan RM388/bulan seterusnya.
Jika tidak perlukan kelajuan 1Gbps, ViewQwest turut menyediakan pelan perniagaan 800Mbps berharga RM328/bulan dengan kontrak 36-bulan, atau RM338/bulan bersama kontrak 24-bulan. Pelan 500Mbps pula berharg RM258/bulan (kontrak 36-bulan) atau RM268 (kontrak 24-bulan).
Pengguna perniagaan juga disajikan dengan pelan lebih murah, berkelajuan 30Mbps serendah RM88/bulan (kontrak 36-bulan) dan kelajuan 100Mbps dari RM118/bulan (kontrak 36-bulan). Tetapi pelan ini diberikan router Netgear R6850 WiFi 5.
Kelajuan simetrik muat naik dan muat turun
Tidak seperti penyedia perkhidmatan lain yang memberikan kelajuan muat naik lebih perlahan daripada kelajuan muat turun, pelan perniagaan ViewQwest menawarkan kelajuan yang sama untuk kedua-duanya, juga dipanggil kelajuan simetrik. Jadi, pelan 30Mbps memberi kelajuan muat naik 30Mbps dan muat turun 30Mbps. Begitu juga pelan 1Gbps, ada kelajuan muat turun 1Gbps dan muat naik 1Gbps.
Secara lalai, pelan perniagaan ViewQwest datang dengan IP awam dinamik tetapi pengguna boleh menambah RM10/bulan untuk IP statik. ViewQwest turut menyatakan bahawa mereka adalah penyedia perkhidmatan pertama dan satu-satunya yang menawarkan penghalaan berdasarkan kependaman (latency-based routing) untuk prestasi rangkaian optimum bagi perniagaan. Mereka juga menyediakan sokongan keutamaan perniagaan khusus 24/7 serta pengurus akaun untuk pelanggan perniagaan.
Kesediaan liputan
Pilihan kelajuan 1Gbps dan 800Mbps untuk pelanggan ViewQwest hanya ditawarkan di lokasi terpilih sekitar Lembah Klang dan Johor Bahru. Ia termasuk Bangsar South, Mid Valley City, Aurora Place, Eco Ardence, KL Sentral dan Imazium Tower. Pelan perniagaan ini juga dilihat menyediakan hanya internet berkelajuan tinggi sahaja, tanpa pilihan untuk menambah panggilan suara.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web ViewQwest Business Fibre.
Perbandingan dengan pelan perniagaan lain
Harga yang ditawarkan oleh ViewQwest untuk pelan perniagaan mereka sangat kompetitif berbanding penyedia perkhidmatan lain. TM contohnya, dengan pelan perniagaan terpantas Unifi Biz 800Mbps berharga RM349/bulan (kontrak 24-bulan) manakala pelan 500Mbps RM299/bulan. Maxis pula menawarkan pelan 800Mbps berharga RM349/bulan dan 500Mbps RM269/bulan. Tetapi kedua-dua pelan Unifi dan Maxis ini memberikan kelajuan muat naik 200Mbps untuk pelan 800Mbps, dan 100Mbps bagi pelan 500Mbps.
Bagi Time pula, mereka hanya ada pelan 1Gbps untuk pengguna di rumah, tiada untuk perniagaan. Time juga tidak meletakkan pelan perniagaan mereka di laman web, tetapi ada wakil pengedar mereka mengiklankannya dengan harga RM258/bulan bagi pelan 300Mbps (muat naik 100Mbps). Pengguna juga perlu mengambil maklum bahawa pelan perniagaan Unifi, Maxis dan Time datang bersama panggilan suara serta beberapa perkhidmatan tambah nilai dan geran SME yang berguna untuk peniaga kecil dan sederhana.
Walaupun ViewQwest menyatakan mereka adalah yang pertama menawarkan pelan perniagaan 1Gbps, sebenarnya Celcom telah dahulu ada pelan sebegini tetapi hanya di Sabah menerusi kabel fiber Celcom sendiri. Pelan perniagaan Celcom 1Gbps hanya RM229/bulan manakala 500Mbps RM200/bulan. Teapi kelajuan muat naik adalah 200Mbps untuk pelan 1Gbps dan 100Mbps bagi pelan 500Mbps.