Pada pagi hari Isnin lepas, ada pengguna PLUS mengadu terpaksa beratur panjang di laluan RFID di Plaza Tol PLUS Jalan Duta. Sehubungan itu, pengendali lebuhraya tersebut telah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menjelaskan tentang perkara tersebut, kerana masalah yang terjadi bukan akibat RFID.
Berdasarkan siasatan yang dijalankan, PLUS mendapati terdapat beberapa pemandu tidak memiliki baki mencukupi dan cuba membuat tambah nilai Touch n Go eWallet mereka di laluan RFID pada waktu puncak, antara pukul 8 pagi sehingga 8.59 pagi pada hari Isnin, 21 Februari 2022. PLUS memohon maaf tentang masalah yang timbul dan akan membantu pengguna dengan baki tidak mencukupi, untuk dengan membawa kenderaan mereka ke tempat yang selamat dan tidak mengganggu trafik di laluan RFID untuk menambah nilai eWallet.
Pastikan baki eWallet mencukupi
Tidak kira sama ada menggunakan kad fizikal Touch n Go, SmartTAG atau RFID, semua pengguna perlu memastikan untuk memiliki baki yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan. Untuk mengelakkan rasa malu akibat “BAKI KURANG” terpapar di plaza tol di masa hadapan, pengguna RFID digalakkan untuk mengaktifkan fungsi “auto-reload” atau tambah nilai automatik pada aplikasi Touch n Go eWallet. Ia boleh dilakukan di dalam aplikasi dan nilai untuk ditambah boleh ditetapkan mengikut keinginan pengguna.
Pengguna RFID juga diingatkan untuk masuk dan keluar lebuhraya PLUS menggunakan cara pembayaran yang sama. Kalau masuk dengan RFID, maka harus keluar dengan RFID juga. Jika tidak, pengguna akan dikenakan penalti iaitu caj tertinggi penggunaan lebuhraya. Untuk pengguna RFID kali pertama, dinasihatkan untuk bergerak perlahan di laluan RFID dan pastikan ada jarak yang agak jauh dari kenderaan di hadapan.
Cara untuk menetapkan tambah nilai automatik TNG eWallet
Untuk mengaktifkan tambah nilai automatik di Touch n Go eWallet, ikuti langkah berikut:
- Lancar aplikasi Touch n Go eWallet
- Tekan pada ‘Reload’ di sudut kiri atas, kemudian tekan ‘eWallet Balance’
- Tekan pada ‘Auto Reload’ di sebelah kanan
- Tetapkan nilai terendah untuk tambah nilai automatik dibuat, dan nilai yang mahu ditambah
- Pilih kad yang mahu digunakan untuk tambah nilai automatik dan tekan ‘Save’
Lain-lain masalah RFID
Selain tidak cukup baki, terdapat juga kes kenderaan tanpa RFID memasuki laluan RFID. Laluan RFID dikhususkan untuk pengguna RFID sahaja dan tidak berfungsi untuk pengguna SmartTAG dan kad fizikal Touch n Go.
Ada juga laporan menyatakan masalah pengesanan RFID kerana pemasangan yang tidak sempurna. Touch n Go, penyedia tag RFID mencadangkan untuk tag RFID dipasang di luar kenderaan sama ada di cermin sebelah penumpang atau di lampu hadapan. Ia juga perlu dipasang jauh dari besi di kenderaan, sekurang-kurangnya 5cm.
Terdapat pengguna yang memasang RFID dengan cara yang tidak disyorkan, seperti memegang tag dengan tangan atau memasangnya di dalam kenderaan di pemegang RFID. Mungkin cara ini berjaya tetapi ia juga mungkin tidak berjaya kerana masalah lapisan cermin atau faktor gangguan lain. Antara ciri keselamatan tag RFID adalah ia tidak boleh digunakan jika dicabut selepas dipasang. Jika anda tidak tahu, tag RFID yang dijual Touch n Go pada harga RM35 datang dengan satu kali penggantian percuma.
Apa pengalaman anda menggunakan RFID? Kongsikan dengan kami di ruangan komen.
[Sumber Gambar: @ad4mjohnston]