Apple hari ini melancarkan satu lagi cip pemproses berasaskan ARM, dalam keluarga M1. Kali ini mereka menggelarknya Apple M1 Ultra. Menurut mereka, ini adalah cip paling berkuasa untuk komputer peribadi dan dengan data-data ringkas yang dikongsikan mereka, ia malah mampu mengalahkan CPU dan GPU flagship pesaingnya.
Cip M1 Ultra melakukan kemunculan sulungnya pada Mac Studio pada harga bermula RM16,799.
Apa yang menarik dengan M1 Ultra?
Secara ringkasnya, Apple mengambil 2 unit cip M1 Max dan mereka lakurkan bersama kedua-duanya menjadi satu cip menggunakan teknologi yang digelar mereka, UltraFusion. Teknologi ini khabarnya meminimumkan latensi antara dua cip berbanding dua M1 Max berbeza yang berhubung di atas papan utama.
Makanya, anda beroleh prestasi yang boleh anda nikmati pada M1 Max pada paras sekali ganda. Antara angka yang dikongsi adalah, jalur komunikasi antara M1 Max di atas M1 Ultra adalah setinggi 2.5TB/s. Selain itu, pengguna juga menerima 20 teras CPU, sehingga 64 teras GPU dan 32 teras NPU.
Lain-lain data yang dikongsi adalah cip ini mampu memuntahkan prestasi 90% lebih tinggi berbanding Intel Core i9-12900K bagi setiap watt tenaga dan ia mampu mencapai prestasi cip pesaingnya itu dengan 100W lebih rendah penggunaan tenaga. Pada sudut GPU, cip yang ada 64 teras pemproses grafik dikatakan boleh menyamai prestasi Nvidia GeForece RTX3090 tapi dengan penggunaan 200W kurang tenaga.
Namun, perlu diingatkan yang ini adalah data dariapda Apple dan kita masih perlu menunggu data daripada pihak ketiga bagi mengesahkan kebenaran dakwaan ini.
Betapa hebatnya M1 Ultra ini, Apple mengiklannya sebagai mampu ditambat pada sehingga 5 paparan dengan 4 daripadanya adalah papran 6K Pro Display XDR dan 1 paparan 4K biasa. Disebabkan Apple melakurkan 2 M1 Max menjadi 1 chip, sistem operasi Mac akan melihatnya sebagai satu cip juga. Makanya tiada sebarang penyelarasan perlu dilakukan pada perkakasan sedia ada.
Bacaan berkaitan
iPad Air (2022) kini diperkasa cip M1, ini harga jualannya di Malaysia – SoyaCincau.com
iPhone SE generasi ketiga lebih berkuasa, ditambah 5G serta dinaikkan harga – SoyaCincau.com
Barisan iPhone 13 disegarkan dengan warna baharu, hijau – SoyaCincau.com