EQA 250 adalah kenderaan elektrik sepenuhnya pertama daripada pengeluar kenderaan mewah itu di Malaysia. Ia adalah sebuah EV dalam kategori SUV yang memiliki bentuk badan sama dengan Mercedes GLA sedia ada.
Harga jualan EQA 250
EQA 250 boleh didapatkan di Malaysia pada harga RM278,201. Bersama-sama dengan pembelian itu, ia dilindungi jaminan selama 4 tahun tanpa had perbatuan manakala bahagian baterinya dilindungi jaminan selama 8 tahun.
Pada harga sebegitu, Hyundai Ioniq 5 Max kelihatan seperti kereta yang lebih berbaloi. Pada harga RM259,888, anda dapat kereta dengan rekaan yang lebih segar luar dan dalam.
Spesifikasi EQA 250
EQA dibangunakan berasaskan kerangka Mercedes GLA (versi petrol) yang oleh anda dapatkan pada harga sekitar RM241 ribu. Untuk versi elektrik, EQA dilengkapi motor yang memuntahkan kuasa setinggi 190hp dengan daya kilas 375Nm.
Motor yang memacu tayar hadapan ini boleh membawa kereta ini pada kelajuan maksimum setinggi 160km/j. Tentang sumber tenaga, Mercedes membekalkan tangka bateri berkapasiti 66.5kWh yang boleh membawanya sejauh 426km.
Bila perlu dicas semula, kereta ini menyokong input kuasa DC setinggi 100kW dan tempoh mengisi selama 30 minit Ia juga boleh menerima tenaga daripada soket 3 pin rumah anda tapi tempoh mengecasnya jadi lebih panjang iaitu 5 jam 45 minit.
Satu berita baik tentang mengecas, Mercedes memaklumkan yang pemilik EV ini boleh mengakses 13 outlet pengecas DC yang dipasang di pengedar sah Mercedes di seluruh negara secara percuma sehingga 2023. Selain itu, mereka turut menikmati diskaun 50% bila mengecas di kemudahan mengecas kelolaan JomCharge.