Kehadiran kecerdasan buatan (AI) membuka seribu satu kemungkinan dalam dunia teknologi. Yang terbaru adalah melalui kajian yang sedang dijalankan NVIDIA.
Menggunakan AI, mereka mengubah video berkadar 30fps menjadi 240fps dengan hasil yang menakjubkan.
Mengikut logik akalnya, untuk mengubah video yang memilki 30 bingkai sesaat kepada 240 bingkai sesaat adalah mustahil. Hal ini kerana, terdapat 210 “bingkai kosong” dalam garis masa video itu yang perlu diisi.
Sebaliknya, menukarkan video 240fps ke 30fps adalah munasabah kerana kita hanya perlu memilih 30 bingkai daripada sumber 240 bingkai untuk menghasilkan video.
Bagaimanakah NVIDIA hadir dengan magis itu?
Cara konvesional untuk mengisi “bingkai kosong” adalah menggunakan kaedah sisipan bingkai tunggal (single-frame interpolation”. Tetapi kaedah ini kurang berkesan disebabkan ruang yang terlalu luas antara bingkai dengan bingkai.
Dalam kes video 30fps, setiap 2 bingkai memerlukan 7 bingkai buatan diisi.
NVIDIA, hadir dengan cara mereka tersendiri. Mereka menggunakan rangkaian neural yang menganalisis setiap bingkai daripada hujung ke hujung untuk meramalkan apakah rupa “bingkai kosong” yang perlu dihasilkan oleh komputer.
Selepas berjaya menghasilkan bingkai yang hilang itu, AI setersunya akan menjahit masuk kedalam video sumber seterusnya menghasilkan satu video yang koheren.
Antara manfaat yang bakal dinikmati pengguna adalah seperti keupayaan untuk menghasilkan video gerak perlahan menggunakan kamera biasa.
Sungguhpun terdapat kamera yang mampu merakam video 240fps secara natif, ia membebankan sensor dan CPU serta menyebabkan peranti cepat panas.
[Sumber: NVIDIA]