Astro sebelum ini bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan jalur lebar tetap lain untuk memberi perkhidmatan Astro IPTV. Kini, Astro boleh memberi perkhidmatan jalur lebar tetap sendiri, menerusi Astro Fibre yang baru dilancarkan. Ia terhasil selepas perjanjian yang dimeterai bersama Telekom Malaysia sebelum ini.
Sebagai promosi pengenalan, Astro Fibre menawarkan promosi WiFi Kencang yang menawarkan pakej internet jalur lebar tetap, pek hiburan Astro serta Router WiFi Mesh dari serendah RM129.90/bulan.
Astro Fibre menyediakan 4 pilihan kelajuan internet, iaitu 50Mbps, 100Mbps, 500Mbps dan 800Mbps. Pelan termurah 50Mbps bermula dari RM99/bulan tetapi dengan promosi pengenalan, ia datang dengan pek Astro TV hanya RM129.99/bulan. Pelanggan boleh mendapatkan pek TV yang lebih banyak, dengan pek termahal iaitu Premium Pack 2 berharga RM244.99/bulan bersama pelan 50Mbps.
Buat masa ini, Astro Fibre tidak menyediakan pelan internet sahaja. Ia perlu dilanggan bersama pek Astro TV.
Untuk kelajuan lain, pelan 100Mbps dan pek Astro TV bermula dari RM184.99/bulan, manakala pelan 500Mbps dari RM244.99/bulan. Kelajuan terpantas 800Mbps dan pek Astro TV pula bermula dari RM304.99/bulan. Seperti pelan jalur lebar tetap yang lain, pelanggan baru akan dikenakan kontrak selama 24-bulan. Tiada pilihan tanpa kontrak atau kontrak 12 bulan.
Promosi pengenalan ini berjalan dari sekarang sehingga 30 Jun 2022. Unit tambahan WiFi Mesh sebenarnya adalah tambahan dari pelan sedia ada. Untuk pelanggan pelan 50Mbps, satu unit WiFi Mesh diberi percuma selama 12-bulan manakala pelan 100Mbps dan ke atas, percuma selama 24-bulan. Satu unit WiFi Mesh ini dikenakan bayaran tambahan dari RM10/bulan sehingga RM25/bulan, bergantung kepada jenis pelan.
Di dalam ruangan soalan lazim (FAQ), pelan Astro Fibre ada kelajuan asimetrik, iaitu berbeza kelajuan naik dan turun. Pelan 50Mbps ada kelajuan muat turun 50Mbps dan muat naik 20Mbps, bagi pelan 100Mbps pula kelajuan muat naik 50Mbps. Untuk pelan 500Mbps, muat naik adalah 100Mbps dan pelan 800Mbps pula, muat naik 200Mbps. Semua pelanggan akan turut menerima router WiFi 6 secara percuma.
Walaupun pelanggan Astro & Broadband sedia ada yang menggunakan perkhidmatan Maxis dan Allo boleh bertukar kepada Astro Fibre, mereka sebenarnya perlu menamatkan langganan dahulu atau menunggu kontrak habis. Selepas itu, mendaftar baru pelan Astro Fibre dengan kontrak baru 24-bulan.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Astro Fibre dan semak juga FAQ mereka.