Aplikasi penjejak COVID-19 kini diselubungi kontroversi apabila didakwa dijual oleh kerajaan kepada pihak swasta bersama-sama data jutaan rakyat Malaysia yang dihimpunnya selama ini. Antara pihak yang menimbulkan keresahan adalah ketua pembangkan, Anwar Ibrahim di parlimen.
MySejahtera dibangunkan KPISoft secara percuma
Penghujung Jun 2020 lalu, Persatuan Usahawan dan Indsutri ICT Bumiputera Malaysia (NEF) pernah menyuarakan tentang pembangunan MySejahtera yang tidak menggunakan kepakaran tempatan. Menurut NEF, KPISoft Inc adalah syarikat dari Amerika Syarikat yang beribu pejabat di Singapura.
Berdasarkan carian ringkas, KPISoft yang kini bergelar Entomo sejak 20 Mei 2020, masih tidak mempunyai ibu pejabat di Malaysia. Yang ada cumalah “innovation centers” yang letaknya di Q Sentral Kuala Lumpur.
Hujah tersebut telah dipatahkan oleh Majlis Keselamatan Negara dalam satu kenyataan media bertarikh 1 Julai 2020 mengatakan yang MySejahtera memang dibangunkan syarikat tempatan berstatus MSC tapi tidak pula menyebut tentang ia berpengkalan di Malaysia. Sebaliknya hanya menyatakan yang Pengurusan Utamanya yang berpengkalan di Malaysia iaitu En. Anuar Rozhan yang merupakan CEO Entomo sehingga sekarang.
Salah satu hujah menarik adalah ia dibangunkan oleh KPISoft secara CSR. Mengikut pemahaman saya tentang frasa CSR adalah ia tidak melibatkan wang terhadap pihak yang menerima manfaat, dalam kes ini Kerajaan Malaysia.
KKM lantik MySJ Sdn. Bhd. untuk kendalikan MySejahtera
Dalam satu mesyuarat kabinet bertarikh 26 November 2021, KKM telah melantik MySJ Sdn. Bhd. untuk mengambil alih MySejahtera. Syarikat tersebut ditubuhkan pada 23 September 2020 dengan modal sebanyak RM35.5 juta.
Menariknya dengan syarikat ini adalah menurut The Malaysian Insight, dua daripada ahli lembaga pengarah MySJ adalah pengasas Entomo iaitu Anuar Rozhan (CEO) dan Reveenderan Ramamoothie (pengasas bersama). Sekiranya anda menggali lebih dalam, seorang lagi ahli lembaga pengarah MySJ turut popular sekarang.
Dia ialah Shahril Shamsuddin yang mempunyai kepentingan 13.91% dalam Sapura Energy, syarikat yang dibelengu masalah kerugian bersih RM8.9 billion dan berdepan kebangkrapan. Dia dilapor menerima sekitar RM200 juta sehari sewaktu berkhidmat sebagai CEO Sapura Energy.
Memang ada penjelasan tentang mengapa gajinya tinggi. Menurut satu temubual bersama The Edge Market, ia adalah bagi mengelakkannya menjual kepentingannya dalam Sapura Energy yang akan menyebabkan syarikat tidak mampu membayar hutangnya kepada bank.
Untuk makluman anda juga, kedua-dua MySJ dan Entomo berkongsi alamat pejabat yang sama.
Apakah aliran wang yang terlibat?
Menurut CodeBlue, Entomo ada berkongsikan tentang kos pengoperasian tahunan MySejahtera yang ditanggung mereka sepanjang projek CSR iaitu sebanyak hampir RM48 juta setakat November 2020.
Maka, bagi mengekalkan pengoperasian MySejahtera, KPISoft (sebelum bertukar nama) telah menghantar satu kertas cadangan bertajuk “MySejahtera: Proposed Way Forward, By Way of Public-Private Partnership (PPP)”.
Intipati cadangan tersebut adalah, Kerajaan Malaysia masih tidak perlu mengeluarkan sebarang data daripada pihak mereka, tapi dana dihimpunkan melalui satu Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang dinamakan MySJ Sdn. Bhd.
Kertas cadangan itu menganggarkan kos pengoperasian MySejahtera untuk 24 juta pengguna adalah hampir RM139 juta setahun.
Mungkin cadangan sudah diterima kerana Entomo akan memindahkan hak cipta dan lesen perisian kepada MySJ pada nilaian RM338.6 juta. Berikut adalah pecahan pembayaran:
Kenapa rakyat bising?
MySejahtera sejak digunakan sebagai penjejak COVID-19 oleh KKM telah menghimpun puluhan juta data, secara percuma. Data inilah yang menjadi lubuk keuntungan pada MySJ. MySejahtera kini ada 38 juta pengguna berdaftar dan setiap daripada orang itu menyumbang data seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat kediaman, lokasi log masuk, dan banyak lagi.
Rakyat bising takut-takut data ini dieksploitasi pihak-pihak tidak bertanggungjawab untuk menjarah keuntungan.
Misalnya, berbalik kepada kertas cadangan KPISoft kepada Kerajaan Malaysia, mereka bercadang untuk masukkan servis kesihatan kepada pihak yang berminat, dengan bayaran sebanyak 10% daripada jumlah transaksi. Data ini juga boleh digunakan Bank Negara ataupun Kementerian Kewangan bagi merangka inisiatif pemulihan ekonomi pasca-COVID-19.
Pembayaran berasaskan kod QR turut dicadangkan kerana sudah ada jutaan premis berdaftar di bawah MySejahtera, implementasi akan jadi sangat mudah. Mereka boleh bekerjasama dengan gerbang pembayaran sedia ada ataupun DuitNow Bank Negara untuk tujuan itu.
MySejahtera dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan dengan KKM sebagai pemilik utama termasuk semua data yang diterima MySj. Kerahsiaan data adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi. pic.twitter.com/DcRCID0vXb
— Khairy Jamaluddin 🇲🇾🌺 (@Khairykj) March 27, 2022
Namun, YB KJ sudahpun menjamin yang data yang berada di platform MySejahtera adalah selamat kerana tatacara penggunaannya perlulah mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342, Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa. Data tersebut tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.