Luno adalah platform pertukaran wang kripto pertama yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Pengguna boleh membeli, menjual dan menyimpan wangkripto seperti Bitcoin dan Ethereum di Luno.
Menariknya, mereka dapati penglibatan pengguna wanita telah meningkat sejak kebelakangan ini. Pengguna wanita daripada 16 ribu pada tahun 2020 telah meningkat kepada lebih daripada 120 ribu pada 2021. Ini merupakan kenaikan sebanyak lebih tujuh kali ganda.
Di samping itu, jumlah transaksi pengguna wanita juga telah meningkat 12 kali ganda dari tahun-ke-tahun (YoY) daripada RM170 juta kepada lebih daripada RM2 bilion. Menurut mereka, hal ini menunjukkan trend positif dalam pelaburan aset digital dalam kalangan pengguna wanita di Malaysia. Data ini adalah berdasarkan aktiviti pengguna wanita Luno di Malaysia pada 2021.
Di Luno, majoriti pengguna wanita Malaysia membeli kriptowang untuk tujuan pelaburan. Manakala selebihnya adalah untuk perdagangan, penghantaran dan penerimaan, dan pembayaran. Di samping itu, sebahagian besar daripada aktiviti transaksi adalah melibatkan golongan berusia 30 hingga 39 tahun, iaitu sebanyak 33%. Ia diikuti oleh pengguna berusia 25 hingga 29 tahun sebanyak 25%, 18 hingga 24 tahun 17%, dan 40 hingga 49 sebanyak 16%. Majoriti pengguna wanita adalah daripada pelbagai latar belakang kerjaya, ia termasuklah dari pendidikan, penjagaan kesihatan, perakaunan, pentadbiran, serta pengilangan dan pembuatan.
Menurut Pengurus Pemasaran Luno Malaysia, Scarlett Chai, mereka kini komited untuk membimbing orang ramai mengenai kelebihan aset digital sebagai pelaburan alternatif. Mereka juga sediakan siri webinar pendidikan khusus untuk wanita, iaitu siri Women-in-Crypto untuk menyediakan akses yang lebih mudah pada platform Luno.
Selain itu, berikutan pengguna wanita yang kian meningkat, Scarlett Chai juga berkata bahawa mereka ingin mewujudkan satu ruang yang selamat supaya golongan wanita dapat mempelajari topik-topik berkenaan aset digital. Dengan usaha yang dilakukan Luno ini, pastinya ramai lagi wanita akan berkecimpung dalam dunia aset digital sekaligus mempunyai ilmu yang sangat tinggi berkaitan pelaburannya.