Samsung telah membuka lembaran tahun 2022 dengan melancarkan tiga model dalam siri Galaxy A awal bulan ini. Kini mereka membawakan dua lagi model yang lebih mampu dimiliki, sebagai ahli keluarga baru Galaxy A iaitu Galaxy A13 dan Galaxy A23.
Seperti namanya, kedua-dua telefon pintar ini berada di bahagian bawah peranti kelas pertengahan dan ia membawakan tanda harga yang lebih mampu dimiliki, di bawah RM1,000. Tetapi tiada skrin Super AMOLED dan tidak kalis air, berbeza dengan abangnya Galaxy A33, Galaxy A53 dan Galaxy A73.
Harga Galaxy A13 dan Galaxy A23
Samsung Malaysia menawarkan hanya satu varian untuk kedua-dua model dan ia tiada sokongan 5G. Harga jualan rasminya di sini adalah seperti berikut:
- Samsung Galaxy A13 (RAM 6GB + Storan 128GB) – RM799
- Samsung Galaxy A23 (RAM 6GB + Storan 128GB) – RM999
Pilihan warna untuk kedua-dua model adalah serupa iaitu warna hitam, biru atau peach. Untuk yang berminat, boleh mendapatkannya di pengedar sah Samsung di seluruh Malaysia, serta di Lazada (Galaxy A13, Galaxy A23) dan Shopee (Galaxy A13, Galaxy A23).
Spesifikasi Galaxy A13
Cip Samsung Exynos 850 telah dipilih sebagai tunjang pemproses di Galaxy A13, cip yang sama digunakan di Galaxy A21s yang dilancar tahun 2020. Ia dibekalkan RAM 6GB dan storan eMMC 5.1 128GB, serta menerima kad mikroSD sehingga 1TB.
Tiada skrin AMOLED, sebaliknya Galaxy A13 dipasang skrin LCD TFT 6.6-inci bertakuk V, HD Penuh dan ada kadar penyegaran 60Hz sahaja. Pengimbas capjari ada di sisi dan kaca Corning Gorilla Glass 5 dipasang di luar skrin.
Kamera belakangnya kelihatan tiada bonjolan, gabungan kamera utama 50MP F1.8, kamera ultra lebar 5MP F2.2, kamera potret 2MP F2.4 dan kamera makro 2MP F2.4. Takuk di dahi skrin memuatkan kamera hadapan 8MP F2.2.
Bateri di dalam Galaxy A13 agak besar, berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecas pantas 15W USB-C. Dari senarai di Shopee, pengecas disenaraikan ada di dalam kotak. Tidak seperti Galaxy A33, Galaxy A53 dan Galaxy A73 yang tidak lagi memberi kepala pengecas.
Galaxy A13 datang siap dengan sistem operasi One UI 4.1 berasaskan Android 12. Samsung tidak menyatakan model ini tergolong dalam jaminan kemaskini baharu seperti Galaxy A33, A53 dan A73. Jadi boleh dikatakan, Galaxy A13 akan menerima kemaskini keselamatan selama 4 tahun, sama seperti Galaxy A10, A11 dan A12.
Spesifikasi Galaxy A23
Samsung memilih cip Snapdragon 680 untuk kuasa utama Galaxy A23, cip yang sama dengan Xiaomi Redmi Note 11. Ia digandingkan bersama RAM 6GB dan storan eMMC 5.1, serta menerima kad mikroSD untuk meluaskan storan sehingga 1TB.
Skrinnya jenis LCD TFT berukuran 6.6-inci bertakuk V, dengan resolusi HD Penuh dan kadar penyegaran 90Hz. Samsung menggunakan kaca Corning Gorilla Glass 5 sebagai lapisan perlindungan luar skrin. Badan dan bingkainya diperbuat daripada plastik. Pengimbas capjari pula di sisi, bergabung dengan butang kuasa.
Rekaan kamera belakang sangat mirip dengan Galaxy A 2022 yang lain, menggandingkan empat kamera iaitu kamera utama 50MP F1.8 OIS, kamera ultra lebar 5MP F2.2, kamera potret 2MP F2.4 dan kamera makro 2MP F2.4. Kamera hadapan pula 8MP F2.2, terletak di dalam takuk V kecil di dahi skrin.
Persamaan yang dinikmati oleh Galaxy A23 adalah bateri berkapasiti 5,000mAh dan sokongan pengecasan pantas 25W USB-C. Sama seperti Galaxy A13, senarai di Shopee menyenaraikan pengecas ada di dalam kotak.
Galaxy A23 datang siap dengan sistem operasi One UI 4.1 berasaskan Android 12. Memandangkan tiada pengumuman baru, boleh dikatakan Galaxy A23 akan terima kemaskini keselamatan selama 4 tahun, sama seperti Galaxy A20 dan A21.