Sebelum ini, pengguna perlu memohon jika mahu tukar akaun mereka di Twitter kepada Professional Accounts (akaun profesional). Tapi, baru-baru ini Twitter ada umumkan bahawa mereka memperluaskan akses tetapan profil Professional Accounts kepada semua pengguna di seluruh dunia. Jadi, anda boleh tukar profil dengan sendiri di bahagian tetapan, tanpa perlu membuat permohonan.
Dengan Professional Accounts, pengguna akan dapat akses kepada alat tambahan untuk berhubung dengan pengguna dengan lebih baik, kembangkan jenama dan tingkatkan keuntungan. Akaun ini sangat sesuai digunakan oleh individu yang berniaga di Twitter, tokoh awam, artis dan pengguna yang berpengaruh.
🌎 Now globally available for everyone, Professional Accounts are a new tool on Twitter that allows you to have a unique and clearly defined presence on the platform.
— Twitter Business (@TwitterBusiness) March 29, 2022
Untuk aktifkan Professional Accounts, anda boleh ikut langkah di bawah:
- Melalui aplikasi, tekan gambar profil di bahagian kiri atas dan pilih Twitter for Professionals. Untuk komputer, anda perlu tekan More di halaman utama dan pilih Twitter for Professionals.
- Seterusnya tekan Agree & Continue
- Anda dikehendaki pilih satu kategori yang bersesuaian untuk menggambarkan akaun anda. Kategori ini akan dipaparkan pada profil. Tekan Next.
- Seterusnya, pilih jenis akaun sama ada Business atau Creator. Business sesuai untuk jenama, kedai, penyedia perkhidmatan dan organisasi. Manakala Creator sesuai untuk tokoh awam, artis dan pengguna yang berpengaruh.
Selepas tukar kepada akaun profesional, anda kini boleh pilih topik untuk diikuti, mempromosikan tweet dalam kempen iklan atau menyesuaikan profil dengan modul yang layak untuk anda. Modul yang tersedia termasuklah Shop Module dan newsletter module. Melalui Shop Module, anda boleh pamerkan produk jualan kepada pengguna Twitter melalui profil perniagaan. Untuk newsletter module pula, orang ramai boleh langgan newsletter daripada profil Twitter anda.
Jika anda sudah tidak mahu gunakan akaun profesional, anda boleh kembalikannya semula kepada akaun peribadi dengan cara:
- Pergi ke profil dan pilih Edit Profile
- Kemudian pilih Edit Professional Profile
- Pilih Switch Account Type
- Kemudian pilih Switch to Personal Account.
Di samping itu, untuk melayakkan akaun anda ditukar kepada Professional Accounts, akaun anda mestilah tidak mempunyai sejarah berulang melanggar garis panduan, memiliki profil yang lengkap dengan nama akaun, bio dan gambar profil. Akaun parodi dan akaun peminat tidak layak untuk menggunakan Professional Accounts.
Menurut Twitter, sesiapa sahaja yang menggunakan platform ini untuk bekerja dan dapatkan wang, maka mereka adalah seorang profesional. Jika anda antaranya, maka bolehlah aktifkan Professional Accounts sekarang untuk tonjolkan diri dan kerjaya anda. Bagi saya, bila seseorang ada profil profesional, pengikut akan lebih tertarik untuk mengikutinya dan lebih yakin untuk membeli item yang dijual.
[Sumber: TechCrunch]