Persidangan Pembangun Sedunia Apple (WWDC) tahun 2022 bakal bermula pada bulan Jun nanti. Sama seperti tahun lalu, Apple turut mengadakan cabaran Swift Student untuk individu berusia 13 tahun ke atas bagi memupuk kemahiran pembangunan perisian yang mereka ada.
Melaluinya, peserta dikehendaki mencipta babak interaktif dalam projek aplikasi Swift Playgrounds, yang boleh dicuba dalam masa tiga minit. Peserta boleh menambah grafik, audio dan pelbagai kreativiti lain lagi di dalam projek masing-masing . Jika anda mahir dalam bidang coding atau pengaturcaraan dan sukakannya, maka anda perlu ambil peluang ini.
Projek aplikasi Swift Playgrounds mestilah dibina dan dijalankan pada Swift Playgrounds 4.0.2 pada iPadOS 15.4 atau Xcode 13.3 pada macOS 12.3. Sekiranya ia dijalankan pada iPadOS, penyerahan perlu dioptimumkan supaya ia boleh dipaparkan dengan betul pada semua model iPad Pro.
Dalam cabaran ini, pemenang akan mendapat hadiah percuma pakaian eksklusif WWDC22, set pin unik dan 1 tahun keahlian Apple Developer Program. Selain itu, Apple turut menyatakan bahawa setiap pemenang hanya boleh menerima anugerah cabaran Swift Student atau biasiswa WWDC sehingga empat kali sahaja.
Syarat untuk menyertainya ialah:
- Berumur 13 tahun ke atas
- Berdaftar sebagai pembangun Apple atau menjadi ahli Apple Developer Program
- Penuhi salah satu syarat berikut: berdaftar di institusi akademik bertauliah atau sekolah rumah rasmi yang setara, mendaftar dalam kurikulum pendidikan organisasi STEM atau telah tamat sekolah menengah dalam tempoh 6 bulan lalu dan sedang menunggu penerimaan masuk ke institusi akademik bertauliah.
Anda boleh mula menghantar penyertaan sekarang sehingga 24 April 2022 jam 11.59 malam. Status permohonan boleh dilihat pada 24 Mei 2022. Ketahui lebih lanjut mengenai cabaran Swift Student di sini.